Fitnah ‘liar dan tidak masuk akal’, Kit Siang kekal saman Ahli Parlimen PAS Kepala Batas

Fitnah ‘liar dan tidak masuk akal’, Kit Siang kekal saman Ahli Parlimen PAS Kepala Batas.

Veteran DAP Lim Kit Siang mengesahkan bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura Mohamad, mendakwa Ahli Parlimen PAS Kepala Batas itu membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Ketika ceramah pada 4 Nov, Siti Mastura mendakwa Kit Siang sepupu kepada bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, mendiang Chin Peng.

Beliau juga mendakwa bahawa Kit Siang dan anaknya, Guan Eng, ialah sepupu perdana menteri Singapura pertama, mendiang Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sepupu kepada Betty Chew, isteri Guan Eng.

“Saya mahu sahkan kenyataan Teresa Kok bahawa saya telah mengarahkan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura,” kata Kit Siang dalam kenyataan.

“Ini lebih daripada tindakan membersihkan nama saya daripada fitnah, tetapi Siti Mastura telah menjadi keaiban negara, menjadi Ahli Parlimen tidak celik media,” katanya yang turut mengingatkan bahawa Siti Mastura mempunyai PhD.

Kit Siang berkata, dakwaan Siti Mastura tiada bezanya dengan dakwaan “liar dan tidak masuk akal” yang dibuat oleh Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini.

Katanya, Hadi mendakwa beliau dan DAP komunis, anti-Melayu, anti-Islam dan anti-raja.

Beliau mencadangkan agar Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memperkenalkan literasi media di sekolah supaya murid dapat membezakan propaganda, penapisan, unsur berat sebelah, pembohongan dan ucapan kebencian daripada kebenaran.

Khamis lepas, Kok berkata, beliau telah memfailkan saman fitnah selepas Siti Mastura gagal menjawab surat tuntutan berhubung dakwaan yang dibuat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*