Bayi usia sehari dikeluarkan dari bawah runtuhan masjid di Gaza

Pasukan penyelamat di Gaza menarik keluar seorang bayi baru dilahirkan dari bawah runtuhan sebuah masjid ketika serangan udara askar Israel menghujani wilayah Palestin yang terkepung itu, lapor akhbar Metro UK semalam.

Ketika pengeboman berterusan, bayi lelaki dipercayai berusia sehari atau dua hari itu dikejarkan ke Hospital Al-Shifa.

Seorang kakitangan kesihatan kemudian dilihat mendukung bayi tersebut dan memakaikan baju berwarna putih kepadanya, tidak lama selepas dia ditemui awal kelmarin.

Rakaman video yang disiarkan stesen penyiaran Sky News menunjukkan bayi tersebut menghisap jari kecilnya kerana kelaparan dengan mata yang masih tertutup.

“Dia ditemui oleh pemandu ambulans pagi ini (kelmarin) berdekatan sebuah masjid yang dibom.

“Kami tidak tahu sama ada keluarganya masih hidup atau sebaliknya. Bayi itu kini dijaga oleh Ketua Unit Rawatan Rapi Neonatal, Dr. Nasser Bulbul,” kata seorang doktor di Hospital Al-Shifa.

Keadaan ahli keluarga bayi tersebut masih tidak diketahui sehingga kini.

Sementara itu, di hospital yang sama, kakitangan kesihatan menjaga empat bayi lain yang baru dilahirkan selepas ahli keluarga mereka terbunuh atau masih hilang.

Menurut Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Palestin, terdapat 50,000 wanita hamil di Semenanjung Gaza yang tidak menerima perkhidmatan kesihatan asas disebabkan perang tersebut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO) memberi amaran bahawa lebih 180 daripada mereka mungkin melahirkan anak setiap hari dengan sekurang-kurangnya 15 peratus berkemungkinan mengalami komplikasi berkaitan kehamilan atau kelahiran serta memerlukan penjagaan kesihatan tambahan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*