Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didapati bersalah atas empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada.

Hakim Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan dan hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu didapati bersalah selepas Azhar memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah atas dakwaan tersebut.

Syed Saddiq didapati bersalah bersubahat dengan Rafiq Hakim, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakannya.

Syed Saddiq ketika itu adalah ketua sayap Pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada.

Beliau juga didapati bersalah menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq juga didapati bersalah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 hingga 19 Jun 2018.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*