{VIDEO} “Lahir sama, meninggal pun sama…” Tragedi pilu pasangan kembar maut nahas 2 kereta bertembung

SEPASANG kembar perempuan berusia 33 tahun dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan pertembungan dua buah kereta di jalan Kampung Gajah, Tanjung Tualang berhampiran Kampung Changkat Rambai, Perak pada Rabu.

Salah seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu juga sempat berkongsi kejadian yang menimpa keluarganya di Facebooknya, Sudaliza Etiqa Takaful.

Menerusi hantaran yang dikongsikannya, Sudaliza dan ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat dan meluahkan rasa hibanya terhadap mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian itu.

“Ahli keluarga saya selamat, airbag meletup. Mangsa meninggal umur 33 tahun perempuan, sebaya saya. Dua orang meninggal, pasangan kembar. Lahir sama, meninggal sama,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, kemalangan dikatakan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Kancil berwarna oren yang dipandu oleh pasangan kembar itu gagal memotong sebuah lori ketika melalui selekoh jalan.

Pada masa yang sama, kereta berwarna hitam yang dipercayai dipandu oleh Sudaliza dilihat mengalami kerosakan pada enjin hadapan dan difahamkan beg udara kereta itu meletup akibat daripada pelanggaran yang berlaku.

Sedih dan trauma dengan kemalangan yang berlaku, Sudaliza sempat memohon maaf dan meminta agar orang ramai mendoakan kedua-dua mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

“(Kereta jenis Perodua) Kancil datang dari depan di selekoh, cuba nak potong lori tapi tak lepas, cuba nak elak tapi ajal maut semua ketentuan Ilahi.

“Masing-masing trauma. Mohon sedekahkan al-Fatihah kepada dua orang arwah, kepada ahli keluarga terlibat maaf dipinta, semoga dipermudahkan urusan.

“Ya ALLAH, ampuni dan rahmatilah mereka. Selamatkanlah dan maafkanlah mereka. Berikan kehormatan untuk mereka, luaskanlah tempat masuknya. Mandikanlah dia dengan air yang jernih lagi sejuk. Bersihkanlah dia dari kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan baju yang putih daripada kotoran.

“Gantikanlah baginya rumah yang lebih daripada rumahnya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya di dunia. Masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah daripada azab kubur dan azab neraka,” tulisnya.

Menurut laporan media, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Gajah digerakkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan pada pukul 11.17 pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail.

Mangsa dikenali sebagai Nur Shahidah Abdull Karim dan Nur Zuhaida Abdull Karim masing-masing berusia 33 tahun yang beralamat di Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan yang mana dua wanita tersepit dalam kereta Perodua Kancil.

“Ketua Operasi, Abdul Hadi Abdullah melakukan penilaian risiko dan mengarahkan pasukan menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemandu SUV berusia 37 tahun dan penumpang berusia 22 tahun mengalami luka-luka di bahagian badan.

“Operasi tamat pada pukul 1.10 petang,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*