Jangan terpedaya fatwa ‘undi parti lain masuk neraka’

Rakyat tidak boleh terpedaya dengan fatwa songsang ‘menerakakan’ seseorang pengundi yang memilih seseorang calon atau sesebuah parti yang berbeza dalam demokrasi pilihan raya.

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat yang kini menjadi Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata fenomena mengkafirkan orang lain atau takfir yang berbeza fahaman politik seperti berlaku pada 1981 sudah berakhir.

Bagaimanapun, katanya tempias takfir terus wujud dalam politik kepartian seperti menghukum orang yang keluar parti sebagai tidak istiqamah dengan perjuangan Islam, yang disempitkan dengan apa yang diperjuangkan parti itu saja.

“Rakan saingan politik dihukum sebagai “musuh Allah.” Itu juga tempias pemikiran “takfiri.” Tidakkah terma “musuh Allah” itu sebahagian tempias pemikiran mengkafirkan orang Islam yang berbeza politik. Ia masih hidup pada 2023.

“Ungkapan “undi parti lain masuk neraka” jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak menghukum “neraka” kepada pelaku dosa besar. Sekiranya Allah mahu, maka Allah ampunkan dia.

“Apatah lagi hukum mengundi parti yang masih bersifat subjektif dan tidak ‘qatie’ (tunggal) hukumnya kerana berupa ijtihad fiqh dan politik kepartian yang berbeza. Ini juga tempias pemikiran “mengkafirkan” orang lain,” kata beliau dalam Facebooknya.

Mohd Khairuddin berkata, mengundi dalam pilihan raya adalah hak yang diberikan dalam negara demokrasi moden dan ia diperakui serta dinilai sebagai sebahagian sistem syura pemilihan dalam Islam.

“Mengundi adalah untuk memilih wakil rakyat yang boleh menjalankan amanah sebagai pemimpin yang menyebarkan kebajikan dan menegakkan keadilan kepada masyarakat.

“Secara umumnya, setiap pengundi tidak mengundi untuk calon itu menjadi wakil rakyat yang menzalimi manusia dan tidak menegakkan keadilan.

“Jika wakil rakyat itu tersasar melakukan kezaliman selepas terpilih, maka dosa kezaliman itu ditanggung oleh dirinya sendiri. Ia tidak ditanggung oleh pengundi,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*