Kerajaan rancang guna peranti satelit Starlink di IPT, sekolah – PM

Kerajaan merancang perolehan 40 peranti satelit Starlink untuk kegunaan institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah seluruh negara dalam usaha meningkatkan capaian internet, sekali gus mewujudkan akses lebih luas dan pantas untuk pelajar.

Perkhidmatan satelit berkenaan disediakan SpaceX, syarikat milik Elon Musk, jutawan dan usahawan teknologi dari Amerika Syarikat (AS) yang mengadakan perbincangan secara maya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Musk ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX serta CEO Tesla Inc, syarikat multinasional beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang automotif pengeluaran kenderaan elektrik (EV), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih.

“Jadi apabila Elon Musk bercakap dengan saya, saya beritahu Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) semalam, untuk kita beli (peranti Starlink) dengan segera dan kita akan pasang di mana saja universiti yang perlu,” kata Anwar.

Menjelaskan demikian ketika berucap pada program Karnival Mini Usahawan Desa (KUD)@Sungai Petani, di sini hari ini, Perdana Menteri menambah, kerjasama dengan SpaceX itu kerana beliau sering ditanya pelajar IPT mengenai kualiti perkhidmatan internet di negara ini.

Yang turut hadir pada program berkenaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh.

“Saya melawat universiti dan mendengar rungutan daripada pelajar yang bertanya ‘Datuk Seri, bagaimana kita boleh belajar sedangkan internet pelahan’,” kata Anwar sambil memaklumkan, peranti tambahan itu juga akan diguna untuk meningkatkan lagi kebolehcapaian internet di kawasan luar bandar.

“Elon kata dia boleh berikan kita 40 peranti, dia turut beri jaminan jika kita memerlukan lebih banyak unit, kita juga boleh beli untuk pemasangan di kawasan luar bandar.

“Kita akan peroleh peranti ini untuk usahawan luar bandar dan projek luar bandar, tetapi kita mulakan dengan universiti, politeknik dan sekolah yang memerlukan akses internet terlebih dahulu.

“Peranti ini kecil tetapi ia boleh menukar sambungan internet yang perlahan kepada sambungan segera. Jika tiada internet di sini, ia akan menyediakan internet kerana ia dipautkan secara langsung kepada satelit,” katanya.

Anwar berkata, pelaburan Musk di Malaysia adalah berdasarkan kepercayaan syarikat berkenaan dengan kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara.

“Ini kerana dia tahu saya mengetuai kerajaan yang stabil. Dia tahu Anwar bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), memastikan kerajaan yang kukuh dan jelas dasar ekonomi.

“Dia mahu tahu ke mana hala tuju kita dan keutamaan kita, iaitu ekonomi luar bandar, keselamatan makanan dan ekonomi digital. Jadi apabila kita bincang perkara ini (dengan) melibatkan orang terkaya di dunia, dia buat keputusan untuk buka ibu pejabat (Tesla) di Cyberjaya tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri meminta tiada pihak memperlekehkan usaha beliau mendekati golongan belia, termasuk mahasiswa kerana pendekatan itu membolehkannya tahu keperluan golongan berkenaan yang boleh direalisasikan kerajaan.

“Isnin sampai Jumaat di pejabat, Sabtu dan Ahad di lapangan, takkan nak duduk di Kuala Lumpur, Putrajaya tak ambil peduli, mana saya nak tahu apa keluhan mahasiswa, anak muda, anak-anak Tingkatan Enam, politeknik.

“Bila kita dengar (masalah) mereka, tindakan diambil. Anak-Anak Tingkatan Enam misalnya, saya bagi contoh, ‘Datuk Seri, kami ini Tingkatan Enam, bukan budak sekolah, biarlah ada cara lain sikit, aturan lain sikit’.

“Jadi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terus umumkan Tingkatan Enam tidak dikategorikan sebahagian sekolah, dianggap Kolej Pra-Universiti KPM (Kementerian Pendidikan), maknanya kita dengar (suara pelajar),” katanya.

Khamis lalu, Fadhlina mengumumkan penjenamaan semula pendidikan Tingkatan Enam kepada Kolej Pra-Universiti KPM dengan jawatan pengetua akan ditukarkan kepada pengarah, guru penolong kanan ditukar kepada timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.

Kolej Pra-Universiti diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus sekiranya masih terdapat kekosongan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*