Tidak tahan bunyi tangisan, pekerja taska goncang bayi sehingga mati.
Seorang pekerja taska di negeri Illinois, Amerika Syarikat (AS) didakwa menggoncang tubuh seorang bayi berusia tujuh minggu sehingga meninggal dunia kerana enggan berhenti menangis, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Suspek, Taylor Burris, 24, kemudian dilaporkan menunggu lebih tiga jam sebelum meminta bantuan.
Pekerja pusat jagaan harian itu turut membuat pencarian maklumat di internet mengenai ‘sindrom goncang bayi’ ketika mangsa, Maren Gallagher, yang berada di hospital meninggal dunia akibat trauma pada kepala, demikian menurut laporan polis.
Menurut pihak berkuasa, Burris menghubungi talian kecemasan pada petang 17 Mei lalu untuk melaporkan mengenai seorang bayi yang tidak memberi respons di sebuah pusat jagaan harian di Forsyth, Illinois.
Bayi berkenaan kemudian dikejarkan ke hospital terdekat di mana dia disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Suspek pada awalnya memberitahu penyiasat bahawa mangsa jatuh sakit selepas terkena bola lisut di pusat jagaan. Dia juga dikatakan mula menangis tanpa henti sehingga menyebabkan suspek terpaksa menghubungi panggilan kecemasan.
Bagaimanapun, menerusi soal siasat kedua Selasa lalu, suspek mengakui bahawa dia menggoncang badan mangsa kerana sering menangis, demikian menurut afidavit yang diperoleh oleh akhbar Herald & Review.
Insiden itu berlaku sekitar pukul 10.40 pagi (waktu tempatan), namun suspek menunggu sehingga pukul 2.05 petang (waktu tempatan) untuk meminta bantuan.
Suspek kini ditahan di penjara Macon pada Selasa lalu. Perbicaraan seterusnya telah ditetapkan pada 15 Julai depan.
Turut baca
Leave a Reply