Terlibat jenayah pecah rumah, bekas pemain bola sepak Liga Super dicekup

PONTIAN – Seorang bekas pemain bola sepak tanah air diberkas polis selepas disyaki terlibat kes jenayah dalam kejadian di Benut, di sini, Isnin lalu.

Menurut sumber, suspek yang berusia 33 tahun itu pernah mewakili beberapa pasukan utama Liga Super diberkas selepas melakukan jenayah pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.

Katanya, lelaki itu diberkas polis selepas kelibatnya dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.

“Suspek cuba bertindak agresif apabila polis cuba menahannya menyebabkan berlaku sedikit pergelutan kerana dia tidak mahu memberikan kerjasama.

“Hasil siasatan, suspek mengakui melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan semalam,” katanya.

Menurutnya, bekas pemain bola sepak itu bersama rakannya di tahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abdul Hamid Abd Rahman mengesahkan kejadian.

Berdasarkan rekod karier, bekas pemain bola sepak itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di Selatan dan Utara tanah air.

Malah, dia juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.

Kali terakhir dia beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air sebelum bekas pemain itu dikatakan menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*