Seorang pencipta kandungan di Youtube membuat laporan polis mendakwa Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mengambil dan memberi gambaran yang salah terhadap salah satu videonya.
Pemilik saluran Youtube “Ah Yau Talks Politics”, Tang Qi Yau turut menyuarakan kebimbangan yang ia boleh menyebabkan dia dianggap sebagai penyokong PN.
Pada 1 Julai lalu, Tang memuat naik video dia menjalankan tinjauan dengan orang Melayu di Rembau, Negeri Sembilan berhubung peluang Umno dalam PRN nanti.
Dalam laporan polisnya, dia berkata pada jam dua petang Isnin lalu, dia mendapati Fadhli telah menyiarkan semula video tersebut tanpa kebenarannya.
“Dia telah menggunakan video saya dengan menggunakan kapsyen seperti mempromosi (PN) dan menyebabkan saya bimbang sekiranya beberapa individu salah faham terhadap video tersebut.
“Tujuan laporan polis dibuat untuk menegaskan video tersebut telah disiarkan tanpa kebenaran saya dan untuk rujukan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini.
Laporan itu dibuat di balai polis Kajang semalam.
Tang turut memuat naik video pendek menggesa Fadhli untuk menurunkan video tersebut di TikTok dan Facebook.
“Saya tak mahu hal ini timbulkan lebih banyak isu nanti.
“Saya tak tolak ambil tindakan undang-undang; semuanya bergantung sama ada YB ini (Fadhli) turunkan video atau tidak,” katanya lagi.
Tang berkata Fadhli bukan saja melanggar hak ciptanya selaku pencipta kandungan, tetapi tindakannya itu tidak menghormati pencipta kandungan.
Katanya, sementara Fadhli menyiarkan video penuh berdurasi 15 minit serta pautan ke video asal di Facebook, hanya 10 minit pertama video disiarkan di TikTok.
“Ini membawa risiko jika orang hanya tonton 10 minit pertama…mereka mungkin fikir saya bekerja untuk PN. Ini sebab utama saya mahu buat laporan polis dan lindungi diri saya,” katanya lagi.
Dalam video asal, ada individu yang diwawancara mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, sementara sekurang-kurangnya dua orang menyifatkan diri sebagai penyokong PN.
Namun, individu terakhir yang diwawancara menyuarakan pandangan bahawa kawasan itu adalah kawasan Umno dan undi para penyokong akan diberikan kepada Umno dan sekutu barunya, PH.
Video yang dimuat naik Fadhli di TikTok tidak termasuk lima minit terakhir, termasuk wawancara terakhir tersebut.
Dalam hantaran di Facebook, Fadhli turut berkata: “Alhamdulillah, semakin ramai yang celik mata. Insya-Allah rakyat Negeri Sembilan akan memilih PN. Terima kasih kepada saudara yang membuat liputan berbahasa Cina ini.”
Setakat 12 tengah malam tadi, video di TikTok sudah diturunkan namun masih boleh ditonton di laman Facebook Fadhli.
- Turut baca : Buru segera si kitol pembelot negara
Leave a Reply