PRN : PH Johor hormat keputusan Muda bergerak solo

Pakatan Harapan (PH) Johor menerima secara terbuka keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang mahu bergerak solo di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Muda mempunyai alasan tersendiri untuk tidak bersama dengan PH pada PRN kali ini sedangkan parti itu bersama PH pada PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Kita hormati sikap Muda untuk bergerak solo. Namun sebagai pemain politik sudah hampir 40 tahun, saya sendiri berpandangan kita hanya akan berjaya dengan adanya kerjasama yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang ahkbar selepas penyerahan 200 ekor kambing bagi program Korban dan Akikah Rahmah di Pasaraya Econsave Muar di sini pada Selasa.

Muda pada Isnin menyatakan pendirian akan bertanding solo dalam pilihan raya di enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Pendirian itu membuatkan Muda bakal bertembung dengan PH yang bekerjasama dengan BN serta Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menambah perpecahan undi kepada PH tidak mungkin berlaku selepas Muda mengambil keputusan bergerak solo pada PRN kelak.

“Saya rasa tidak, kerana PH yang bersama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan selama tujuh bulan sudah banyak melaksanakan program untuk rakyat termasuk inisiatif Rahmah.

“Malah sikap terbuka Kerajaan Madani dipimpin Perdana Menteri juga telah memberi peruntukan tanpa mengenal ideologi dan negeri pembangkang.

“Saya rasa itu menjadi faktor kepada rakyat untuk membuka mata menilai sejauh mana Kerajaan Madani menjadikan rakyat didahulukan tanpa mengira ideologi,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*