“Saya tertanya-tanya kenapa suami tidak menjawab mesej yang dihantar dan rasa tidak sedap hati. Sangkaan saya ternyata benar apabila seorang guru menghubungi memaklumkan suami kemalangan,” kata Norana Paiman, 41, isteri kepada Allahyarham Nuri Hasni Mohd Samuri yang maut kemalangan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lalang, dekat Ayer Hitam, semalam.
Kemalangan pada jam 1.15 tengah hari itu menyebabkan Nuri Hasni yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha XJ6 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman selepas bertembung sebuah treler.
Lebih menyedihkan apabila kemalangan itu berlaku tidak sampai dua kilometer dari rumah bapanya di Kampung Melayu Manong, Batu 9, dekat Ayer Hitam.
Norana berkata, dia menghantar mesej kepada suaminya melalui aplikasi WhatsApp ketika mahu ke rumah mentuanya di kampung terbabit untuk mengambil kereta.
Katanya, kali terakhir dia menghantar mesej pada jam 12 tengah hari dan biasanya arwah akan membalas memaklumkan dia sudah tiba di rumah ibu bapanya.
“Dalam hati saya tertanya-tanya kenapa suami berdiam diri tidak seperti kebiasaannya, namun akhirnya saya terima panggilan itu (memaklumkan suami kemalangan). Guru terbabit mendapat nombor telefon saya selepas melihat mesej WhatsApp terpapar pada skrin telefon arwah suami.
“Guru terbabit memberitahu suami yang kemalangan tidak bergerak dan terlungkup atas jalan. Tanpa membuang masa, saya bergegas ke lokasi dan melihat jasad suami sudah ditutup kain dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya ditemui di rumah mentuanya.
Pasangan itu mempunyai seorang anak tunggal, Muhammad Haziq Hadi, 15, sebelum ini menetap di Machap, Kluang.
Arwah suami Norana bekerja di pelantar minyak, Kemaman dikatakan sedang bercuti sempena Aidiladha dan dijangka pulang ke Terengganu Ahad ini.
- Turut baca : “Macam tak de otak” – Mak ayah naik angin, anak darjah satu kena ‘kurung’ macam banduan
“Sepatutnya dia pulang ke Terengganu minggu ini, namun memandangkan Aidiladha, dia menyambung cuti untuk bersama keluarga,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu bertembung dengan treler dari arah Kluang ke Batu Pahat.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak cedera.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau IPD Batu Pahat, 07-4343999,” katanya.
Leave a Reply