{VIDEO} Lelaki tunda motosikal lain guna tangan di laluan kecemasan undang padah

PADAH melakukan aksi berbahaya dengan menunda motosikal lain sambil menunggang motosikal sendiri berhampiran Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seorang lelaki disaman polis.

Tindakan itu dibuat selepas rakaman video berdurasi 13 saat itu tular kira-kira pukul 2.21 petang pada Sabtu selepas dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter di bawah nama MyNewHub.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ketika dimuat naik, rakaman video itu mendapat sekurang-kurangnya 10 tanda sukaan, satu komen dan enam ciapan semula.

Namun, tarikh dan masa sebenar kejadian seperti yang dirakam dalam video itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

“Susulan kejadian itu juga iaitu kira-kira pukul 3.30 petang, penunggang terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 20-an berjaya ditahan.

“Dia kemudian disaman di bawah Kaedah 53(1) LN166/59 iaitu menunda kenderaan di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Cheng San turut menasihatkan orang ramai tidak melakukan perbuatan menunda kenderaan lain di atas jalan raya kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*