PETALING JAYA – Seorang anggota imigresen Gred 19 dikesan ‘memiliki’ empat kenderaan mewah termasuk jenis Rolls-Royce Phantom yang berharga sekitar RM6 juta dipercayai hasil kegiatan haram salah guna cap di pintu utama negara.
Perkara itu terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berikutan penahanan 28 anggota dan pegawai imigresen di Selangor dan Johor sejak Selasa lalu.
Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Rolls-Royce Phantom, Ford Mustang, Range Rover dan Audi itu didaftarkan atas nama empat ejen termasuk dua warga China. Mereka adalah ejen pekerja asing warga China yang beroperasi di negara ini.
Keempat-empat kenderaan itu bagaimanapun disimpan oleh seorang ejen tempatan.
“Agak mengejutkan seorang anggota imigresen Gred 19 yang bergaji bawah RM4,000 mampu ‘memiliki’ kesemua kenderaan mewah tersebut.
“Siasatan mendapati kenderaan-kenderaan mewah yang digunakan anggota berusia 31 tahun itu adalah sebagai balasan kerana membantu membuat setting counter di pintu utama negara,” katanya
Setakat semalam, SPRM telah memberkas seramai 50 individu terdiri daripada 28 anggota dan pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam dipercayai orang tengah.
Turut dirampas wang berjumlah RM800,000, 26 buah kenderaan mewah dan empat buah motosikal berkuasa tinggi. SPRM turut menyita rumah, tanah dan barangan kemas.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd. Razali tidak menolak kemungkinan ramai lagi akan ditahan dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
Media pada Rabu lalu melaporkan SPRM membongkarkan kegiatan salah guna cap di sempadan negara sejak setahun lalu dengan penahanan 46 individu termasuk 27 anggota dan pegawai imigresen.
Sindiket tersebut menyasarkan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin dengan menggunakan taktik pasport terbang dan setting counter khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Sepang
Bagi pasport terbang, ejen mengumpulkan pasport pekerja asing untuk dicap keluar dan masuk bagi membolehkan visa lawatan disambung tanpa kehadiran pemiliknya sebagai pengesahan dengan bayaran serendah RM100.
Untuk setting counter pula, warga asing yang disenarai hitam atau tamat tempoh perjalanan visa dikenakan bayaran RM500 hingga RM6,000 setiap seorang bagi membolehkan mereka bebas masuk dan pulang ke negara masing-masing.
Dianggarkan 30,000 warga asing menggunakan khidmat sindiket tersebut.
Leave a Reply