Judi dalam talian: SPRM siasat pembabitan ahli politik

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat berkaitan pembabitan ahli politik dalam aktiviti judi dalam talian.

“Siasatan berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima dan turut berkongsi perkara tersebut bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa hingga menyebabkan isu judi ini berlaku,” kata bahagian komunikasi strategik suruhanjaya itu pada satu kenyataan hari ini.

Malam tadi, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya dan SPRM berkongsi maklumat bagi menentusahkan aktiviti judi dalam talian yang melibatkan pihak politik.

Acryl Sani berkata pihaknya telah menerima maklumat berhubung perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.

Ini susulan pendedahan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di parlimen kelmarin yang mendakwa terdapat ‘naungan politik’ melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Saiffuddin menjawab soalan R Ramanan (PH-Sungai Buloh) yang mahu tahu jika benar wujud naungan politik yang melindungi kegiatan perjudian haram dalam talian.

Menteri itu juga mendakwa pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*