Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mendedahkan ‘Langkah Sheraton’ menyebabkan pembangunan dan operasi sukan menjadi kacau bilau hingga menjejaskan 220 atlet negara.
Hannah berkata, hal ini kerana dalam tempoh empat tahun saja menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri termasuklah menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekali gus menyebabkan persediaan atlet negara tergendala dengan kemuncaknya menjejaskan pencapaian mereka terutamanya pada temasya Sukan Sea Kemboja baru-baru ini.
“Sejak Mei 2013 Menteri Belia dan Sukan pada masa itu Khairy Jamaluddin mempunyai 61 bulan untuk membuat persiapan bagi sukan.
“Julai 2018 menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempunyai hanya 20 bulan untuk membuat persiapan sebelum ‘Langkah Sheraton’ berlaku. Kemudian Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempunyai 18 bulan diikuti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selama 16 bulan.
“Setiap kali bertukar menteri turut berlaku pertukaran kepimpinan, bajet dan fokus dalam sukan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta menjelaskan kenyataannya bahawa ketidakstabilan politik punca pencapaian buruk kontinjen Malaysia di Sukan Sea di Kemboja.
Menurutnya, kesan daripada situasi terbabit juga menyebabkan seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan untuk pelaksanaan program latihan di bawah program Podium berikutan ketidakstabilan politik yang berlaku.
“Dalam butiran Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, tidak ada dinyatakan peruntukan untuk program Podium 2022 sehingga menyebabkan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi 2022 antaranya Sukan Sea Vietnam, Sukan Birmingham dan Sukan Asia.
“Kesannya seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium.
“Pada masa sama MSN terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan untuk tidak menjejaskan prestasi atlet sedang dalam latihan,” katanya.
Hannah berkata, keadaan itu berlarutan bagi tempoh dua bulan dari Januari hingga Februari 2022 sebelum KBS mengambil inisiatif memohon kepada Kabinet untuk mendapatkan peruntukan program Podium.
Katanya, peruntukan itu kemudian dipersetujui di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sebanyak RM240 juta dari tahun 2022 hingga 2025 iaitu RM60 juta setahun.
“Setiap kali ada perubahan seperti ini apabila ada elaun tertangguh dan gaji jurulatih juga tertangguh kerana tiada bajet ini memberi kesan kepada latihan atlet.
“Sementara kita di Malaysia sibuk berpolitik, negara-negara jiran kita sudah maju ke hadapan,” katanya.
Menurutnya, adalah tidak bertanggungjawab untuk pihaknya hanya menyalahkan persatuan sukan dengan tidak menyebut bahawa keadaan politik di Malaysia juga memainkan peranan atau menjadi salah satu faktor.
“Saya bukan kata semuanya adalah kerana ketidakstabilan politik. Tetapi kita perlu akui selepas Langkah Sheraton memang ada banyak usaha yang kerajaan lakukan sebelum itu yang terganggu kerana ketidakstabilan politik dan itu adalah fakta,” katanya.
Leave a Reply