Mangsa sempat minta 20 sen beli aiskrim sebelum digilis

Kanak-kanak lima tahun yang maut digilis sebuah lori ketika bermain, sempat berjumpa bapanya dan meminta 20 sen untuk membeli aiskrim sebelum tragedi itu berlaku di Kampung Paya Mengkuang Batang Tiga, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.25 petang itu, mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menurut Muhamad Qayyum Abdul Aziz, 37, kejadian berlaku selepas anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang dari tadika dan menjadi rutin hariannya singgah di rumah nenek untuk bermain dengan sepupu di kawasan berhampiran.

“Masa tu saya tengah buat kerja-kerja kontraktor di sebuah rumah berdekatan rumah emak, tiba-tiba adik (Nur Qayra) datang bersama sepupunya meminta 20 sen untuk membeli aiskrim.

“Saya berikan kepada mereka dan menyuruh pulang ke rumah selepas membeli aiskrim kerana cuaca panas lalu menyambung semula kerja.

“Tidak lama lepas tu saya dengar bunyi riuh berhampiran rumah mak kerana ada kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Melaka, di sini, malam tadi.

Ujarnya, dia tidak menyangka mangsa kemalangan itu merupakan anaknya, malah lori terlibat juga merupakan kontraktor yang membawa muatan pasir bagi kerja-kerja binaannya.

“Saya tak sangka 20 sen itu jadi permintaan terakhir yang dapat ditunaikan. Dalam seminggu ni dia memang banyak menguji kesabaran saya dengan sikap merengek-rengek mahukan sesuatu, termasuklah minta untuk main di ‘fun fair’ di Klebang.

“Saya pula memang cuti pada waktu itu dan banyak meluangkan masa dengannya, memang dia anak yang manja,” katanya.

Ujarnya, dia dan isteri, Faezah Kadir, 38, bagaimanapun reda dengan kejadian itu, namun berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi pihak keluarga.

Muhamad Qayyum berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang, Malim, dekat sini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*