Lebih ramai ahli UMNO didakwa akan menolak parti itu selepas Dewan Merdeka yang menjadi lokasi himpunan keramat orang Melayu dimasuki pemimpin dan ahli DAP.
Andaian itu dibuat oleh bekas pemimpin UMNO yang dipecat daripada parti Tan Sri Annuar Musa.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu meramalkan UMNO akan terus ditolak pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kehadiran puak sosialis, liberalis DAP ke PWTC akan mendorong jutaan rakyat, termasuk ahli UMNO akan terus meninggalkan UMNO.
“Dan UMNO bakal ditolak rakyat dalam PRN dan PRU akan datang. Insya-Allah,” kata Annuar di Facebook beliau.
Pengerusi Muafakat Nasional itu berkata, kehadiran DAP berbeza dengan kedatangan pemimpin Pas ke PWTC yang kini dikenali sebagai Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Katanya, kehadiran pemimpin Pas ke pusat persidangan yang menjadi sebahagian ibu pejabat UMNO itu telah mendatangkan kesan positif berbanding kehadiran pemimpin DAP.
“Kehadiran ribuan penyokong UMNO dan Pas di PWTC September 2019 telah menyemarakkan semangat jutaan rakyat sehingga UMNO meraih kemenangan dalam siri-siri PRK dengan cemerlangnya,” kata Annuar.
Veteran DAP Lim Kit Siang dan anaknya yang merupakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng antara pemimpin DAP yang hadir dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung semalam.
Buat pertama kali pemimpin DAP melalui Setiausaha Agung Anthony Loke dan Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo berucap di Dewan Merdeka.
Media melaporkan Anthony mengakui agak gugup semasa berucap di WTCK kerana menganggap ia adalah pengalaman kali pertama buatnya.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, tidak terlintas di fikirannya bahawa dia akan berbuat demikian di WTCKL yang merupakan kubu seteru politik lamanya, UMNO.
“Saya rasa tak pernah ada seorang pun dalam DAP termasuk rakan saya, Gobind Singh Deo yang terfikir tentang perkara ini.
“Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mungkin sudah biasa kerana ia ibarat kembali gelanggang lama. Jadi, saya kira ia merupakan hari yang cukup bersejarah,” katanya.
Ketua Wanita DAP Chong Eng juga berkesempatan berucap dan menyeru semua pihak dalam kerajaan mengenepikan perbezaan, sebaliknya melihat kepada persamaan bagi membina Malaysia yang lebih baik.
Katanya, jika sebelum ini mereka bersengketa dengan UMNO-BN, kali ini kedua-dua pihak berkongsi pentas demi negara.
Turut baca : Salahuddin : Insurans Rahmah dilancar hujung Mei ini
Leave a Reply