PDRM tak kompromi aduan salah laku pegawai – KPN

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan meneliti semua laporan salah laku pegawai dan anggotanya yang dikatakan tidak diambil tindakan seperti pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi bahkan sentiasa bekerjasama dengan setiap agensi untuk memastikan integriti pihaknya sentiasa terpelihara.

Menurutnya, Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) Bukit Aman telah pun menyediakan laporan lengkap berkaitan dengan aduan yang dilaporkan

“Dalam masa sama, kita juga sedang meneliti mana laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil kepada mereka yang terlibat.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa kita akan sentiasa berikan kerjasama kepada bukan sahaja SPRM tetapi juga kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) untuk memaklumkan kepada mereka tindakan-tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pemakaian Pangkat, Serah Terima Tugas, Ketua Polis Pahang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Pahang di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan Mantan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang ke -35 menggantikan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang akan mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan tindakan yang perlu diambil kepada mana-mana pegawai dan angota yang dipercayai melakukan kesalahan tata tertib.

Beliau tidak menolak pelbagai salah laku yang dilakukan oleh anggotanya seperti salahguna rasuah, dadah dan pelbagai kesalahan lain.

“Mungkin ada dalam proses, ada yang lambat dihantar tetapi tidak ada laporan yang kita ketepikan atau kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memandang serius apa juga pelanggaran tata tertib oleh mana-mana pihak.

“Kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dalam apa juga yang kita lakukan, ” katanya.

Terdahulu media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka.

Daripada jumlah itu sebanyak 125 laporan sudah dibuat membabitkan anggota polis diikuti agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*