Ketidakbersatuan BERSATU ‘satu rahmat’ buat PAS

Abdul Hadi Awang bersama beberapa orang kanan PAS mengadap Dr Mahathir Mohamad di kediaman mantan perdana menteri dua kali itu. Di sana mereka menandatangi “Proklamasi Orang Melayu”. Foto rombongan Hadi yang duduk bersama Mahathir, ditularkan entah oleh siapa.

Bukan baru sekali ini, sebuah dokumen yang mengatasnamai Melayu dikeluarkan oleh Mahathir. Dokumen dengan maksud yang sama pernah dikeluarkan dengan pelbagai nama seperti “deklarasi”, “proklamasi” dan sebagainya.

Apa pun namanya—bahkan apa pun isinya!—tidaklah begitu bermakna lagi kepada bangsa Melayu. Selagi ia ditulis dan dikeluar oleh Mahathir, dokumen seumpama itu akan dilihat oleh orang Melayu sebagai helah untuk membakar sentimen bangsa dan kaum semata- mata.

Sebagai taktik politik, PAS juga hendak “tumpang tui”, bermain sentimen perkauman sama.

Moga-moga masih ada saki-baki orang Melayu yang tidak termakan dan percaya bahawa memang Mahathir mahu memperjuangankan nasib orang Melayu; sambil menyembunyikan kepentingannya yang kini mula terancam.

PAS bukannya tidak sedar Mahathir sudah hilang pengaruh yang signifikan. Parti Mahathir, Pejuang kalah bahkan hilang deposit di hampir kesemua kerusi yang ditandingi dalam PRU yang lalu. Parti Mahathir itu bukan sahaja kalah kepada BN atau PH, kalah juga kepada calon-calon PAS dan PN. Bagi yang berakal, mengitar semula perjuangan sebegitu, sebenarnya bukan sahaja tidak berbaloi, tapi juga membuang masa.

Di kala Hadi menandatangani proklmasi Mahathir, ia petanda yang Hadi juga sedar bahawa Bersatu sudah tidak boleh diharap terlalu banyak untuk menambah sokongan orang Melayu kepada PAS. Kemampuan dan pengaruh Bersatu hampir sampai ke siling. Sudah maksima. Hendak cari seratus orang sahaja lagi untuk penyokong Bersatu pun sudah amat sukar.

Buruk atau melemahnya Bersatu adalah rahmat buat Hadi dan PAS. Nampaknya kini Bersatu juga tidaklah begitu bersatu lagi. Sudah ada bibit-bibit ketidakbersatuan keputusan dan tindakan dalam Bersatu. Di kala Hadi menandatangan proklamasi Mahathir, rupa-rupanya ada segelintir pemimpin kanan Bersatu juga yang turut tandangan sekali.

Sedangkan, tidak sampai tiga bulan lalu, PN melalui Bersatu menolak permohonan parti Mahathir untuk menyertai PN. Walaupun Mahathir sendiri sudah meninggalkan parti berkenaan, tetapi tindakan tersebut dipercayai tidak lebih hanya sebagai helah untuk menyelamatkan Mukhriz Mahathir yang menjadi presiden tanpa bapanya.

Muhkriz perlu dilihat sudah ‘terbebas’ daripada terus berada di bawah ketiak bapanya.

Kalau perlu, Muhkriz hendaklah digambarkan mempunyai ‘pergeseran’ dengan sang bapa.

Sebagai anak kepada Mahathir, kita doakan yang baik-baik sahaja.

PAS tidak terikat untuk melaporkan semua langkah mereka kepada Bersatu atau pengerusi PN, Muhyiddin Yassin. PAS boleh dikatakan sekarang merupakan abang besar dalam PN dan mempunyai kelebihan yang terlalu banyak ketimbang Bersatu; daripada jumlah ahli sehinggalah kuasa pentadbiran di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bersatu ada apa? Nol, nehi! Hanya jawatan-jawatan yang tidak penting seperti ketua pembangkang, dan kononnya pengerusi PN yang boleh diragut bila-bila masa.

Dalam politik demokrasi, bukan jawatan yang menjadikan seseorang atau sesebuah parti itu kuat, tetapi yang dihitung adalah bilangan wakil rakyat serta jumlah ahli akar-umbi. Sebuah parti dengan ahli seratus ribu takkan sekuat parti yang ada ahli 1.5 juta orang. Selain daripada asas ini, faktor lain hanya illusi dan fatamorgana kuasa sahaja.

Lihatlah betapa malang nasib si Luncai apabila Bersatu sudah tidak mempunyai seorang pun menteri besar di mana-mana pun negeri akibat Langkah Sheraton yang diciptakan oleh pemimpin mereka sendiri.

Sebelum Sheraton, Bersatu ada dua MB iaitu di Perak dan Johor. Demi memenuhi nafsu sarakah Muhyiddin yang terburu-buru hendak menjadi PM, maka anak buahnya sendiri dikorbankan sehingga kehilangan jawatan masing-masing di peringkat negeri. Kebodohan apakah itu apabila Muhyiddin menjadi PM dan menongkat langit pun tidaklah begitu lama?

Justeru, memang wajar kalau ada suara keras ahli-ahli Bersatu yang mula sedar dan mengecam atau menyalahkan Muhyiddin kerana membuatkan partinya sendiri kehilangan tapak kekuatan akar umbi. Posisi seperti menteri besar adalah penting untuk menjadi tapak kepada kekuatan teras mana-mana parti, yang tidak wajar digadai meski atas alasan untuk seorang presiden menjadi PM. Langkah politik itu membukti Muhyiddin lebih mengutamakan dirinya, berbanding partinya.

Semua helah dan tindakan Muhyiddin sejak beberapa tahun kebelakangan bukan tidak dibaca dan diamati oleh PAS.

PAS tahu, kalau Bersatu tergamak mengkhianati semua parti di dalam PH seperti PKR, Amanah dan DAP; Bersatu juga kalau lebih kuat nanti, pasti akan mengkhianati PAS pula. Sudah menjadi hukum alam, sekali berkhianat maka selamanya akan kerasukan untuk terus enak berkhianat. Seketika tidak melakukan khianat, merasa seperti tidak lengkap hidup mereka.

Maka sebelum saat itu tiba, lebih baik PAS mengambil tindakan-tindakan yang tidak memerlukan lagi hubungan rapat atau restu Bersatu. Terlebih-lebih pula, tidak mungkin di atas sebuah bukit politik Melayu ada dua ekor singa. Begitu ingatan perpatah lama, di setiap bukit hanya boleh ada seekor raja rimba sahaja.

Dalam saat-saat akhir sebelum PRN, PAS hanya perlu menyaksikan Bersatu melangsaikan tugasan atau ‘hutangnya’ untuk mengumpan saki-baki tokoh Umno yang tergelincir daripada Umno agar menyertai PN. Tidak kisahlah sama ada menyertai BERSATU, atau terlebih baik kalau mereka isi borang PAS.

Sepertimana Bersatu, PAS juga percaya kemasukan tokoh-tokoh seperti Annuar Musa, Noh Omar, Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan dan beberapa yang lain boleh melonjakkan sedikit sebanyak sokongan kepada PN. Di sana nanti, PAS pasti paling beruntung kerana PAS yang akan bertanding kerusi terbanyak secara keseluruhannya. Dan Bersatu bakal kena ‘game’ lagi.

Jangankan Selangor atau Negeri Sembilan, PAS juga begitu yakin dapat menguasai kerajaan Pulau Pinang. Apabila ada pemimpin Bersatu yang berura-ura untuk ‘chop’ atau ‘menempah’ jawatan MB di Selangor atau Negeri Sembilan, kurang 48 jam kemudian terdengarlah bantahan keras dan ditolak mentah-mentah oleh pimpinan PAS. Cadangan sebegitu, di peringkat kawasan atau negeri pun tidak lepas.

Di Terengganu dan Kelantan, keadaannya lebih parah. Calon Bersatu diharamkan sama sekali memakai logo PN. Mahu tidak mahu, mereka perlu bertanding atas tiket PAS-pis-pus sahaja.

Dengan wujudnya akta antilompat parti yang sudah terpakai sekarang, sekali seseorang calon bertanding dengan tiket PAS, maka selamanyalah dia akan terperangkap sebagai wakil rakyat PAS. Keanggotaannya sebagai ahli Bersatu cuma wujud di dalam sistem data parti masing-masing sahaja, sementara hakikatnya dia diikat oleh PAS sebagai wakil rakyat PAS.

Dalam percaturan politik sebegini, PAS memang jauh lebih berpengalaman dan licik. Kalau diamati, PAS yang relatif mendapat jumlah undi Melayu akan besar dalam PRU lalu ialah kesan hubungannya Umno dalam MN tidak lama dulu. Lihatlah betapa bijaknya PAS yang sentiasa mahu untung lebih besar berbanding rakan gabungan.

Kalau Umno pun nyaris-nyaris ditelan oleh PAS, inikan pula Bersatu—di mata PAS, Bersatu hanya sebuah parti serpihan yang masih menjejeh hingus. Kalau disorot sejarah lebih awal, parti Semangat 46 sebagai ‘abang’ atau ‘mak-bapak’ kepada Bersatu pun diratah-ratah, inikan pula ‘adik-adik’ atau ‘anak-cucu’ seperti Bersatu.

Pemimpin Bersatu tentu menafikan hakikat ini, tetapi sambil lututnya mengigil dan dahi berpeluhan.

Saya yakin, PAS tidak akan melepaskan ‘haknya’ untuk jadi singa di atas bukit politik Melayu—sama ada ketika jadi kerajaan atau pembangkang. Tujuan PAS memang untuk itu, cuma sebelum ini mereka terpaksa berhadapan dengan Umno secara satu lawan satu. Atas perebutan yang panjang, PAS sedikit pun tidak akan rela Umno digantikan oleh Bersatu.

Bersatu hanya parti sekular serpihan Umno yang tidak faham Islam.

Walaupun mula kedengaran suara hati Bersatu merayu untuk kekal menjadi tuan atau singa yang berkongsi sebuah bukit politik Melayu, tetapi di telinga PAS, bisikan Bersatu ibarat suara tikus luka yang kalah perang. Kalau dibiarkan hidup, ia akan membawa virus dan penyakit. Kalau dirawat dan dibiarkan mendewasa, ia pasti akan membaham semula.

Oleh itu, PAS hanya menunggu masa untuk memijak mampus sang tikus itu. Mundur ajal, maju apatah lagi.

HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik dan penyokong kuat PKR.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*