Alhamdulillah. Sampai pegawai penguatkuasa KPDN pun sama-sama tolong bawa bekalan gula ditempat-tempat yang kritikal . Tahniah diatas kerja kuat PPKPDN, kata Datuk Seri Salahuddin Ayub Menteri KPDN.
Sebelum itu, bekalan gula di negeri ini yang terputus sejak seminggu lalu sudah 98 peratus apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan sudah mengedarkan bahan mentah itu kepada 280 premis bagi memastikan ia kembali berada di pasaran.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, daripada jumlah tersebut 263 melibatkan pemborong dan selebihnya melibatkan peruncit dan pasaraya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan menerusi Op Manis KPDN Kelantan mendapati bekalan tersebut sudah berada di pasaran.
“Kita (KPDN Kelantan) turut mendapati tiada aktiviti pembelian panik dilakukan oleh pengguna sepanjang pemeriksaan dijalankan.
“Setakat ini hanya satu kes melibatkan gula dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, peniaga mendakwa bekalan gula masih sukar diperoleh walaupun pihak KPDN Kelantan sudah mengagihkan 250,000 bekalan bahan mentah itu ke seluruh negeri ini bagi mengatasi masalah tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia di Tumpat dan Pasir Mas mendapati rata-rata peniaga mengeluh apabila sukar mendapatkan bekalan bahan mentah itu sekali gus mengganggu urusan niaga mereka.
Dalam perkembangan lain, Azman memberitahu, sehingga semalam KPDN Kelantan menerima 17 aduan berkait masalah kekurangan gula.
Katanya, laporan ketiadaan bekalan merekodkan jumlah tertinggi iaitu sembilan kes, enggan menjual (dua kes), menyorok bekalan dan menjual gula pada harga mahal (tiga kes).
“Kesemua aduan ini sedang disiasat dan KPDN Kelantan mengambil serius perkara tersebut,” ujarnya.
Leave a Reply