Sekumpulan pemilik lori menggesa Kementerian Pengangkutan supaya campur tangan dalam isu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa akan melucutkan hak milik kenderaan mereka.
Terdahulu, 18 pemilik lori memaklumkan kenderaan mereka disita oleh JPJ kerana membawa lebih had muatan dalam operasi dijalankan agensi penguatkuasaan itu di sekitar ibu negara dan Selangor pada Disember tahun lalu.
Pemilik lori, K R Shanmagaraja, 42, berkata, lori jenis Nissan miliknya disita pada 20 Disember lalu oleh JPJ kerana dipenuhi dengan muatan batu.
“Saya kemudiannya didakwa pada 13 Januari lalu mengikut Seksyen 57 (1)(a) dan (b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan dikenakan denda RM25,000 yang sudah saya selesaikan sebelum pergi ke Ibu Pejabat JPJ Selangor untuk mendapatkan semula lori.
“Ketika itu, saya diberitahu bahawa tindakan lanjut sedang diambil di bawah Seksyen 80(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk melucut hak milik kenderaan itu.
“Sudah lebih lima bulan lori itu ‘ditahan’ oleh JPJ sehingga kini. Saya membayar ansuran bulanan RM4,000 ke atas lori itu, namun kini tidak dapat menjelaskan bayaran berkenaan kerana ia tidak beroperasi,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui bersama 17 pemilik lori lain selepas membuat laporan di Balai Polis Sentul, di sini, hari ini.
Seorang lagi pemilik lori, Kaljit Singh, 36, berkata, lori jenis Nissan miliknya turut disita JPJ pada hari sama atas kesalahan sama.
“Saya juga didakwa di bawah akta sama dan membayar denda RM25,500 tetapi lori itu tidak dilepaskan.
“Sekarang, saya tidak dapat menambah pendapatan untuk keluarga dan menjaga isteri yang menghidap kanser.
“Disebabkan itu, saya menggesa JPJ mempertimbangkan semula tindakan yang dikenakan terhadap kami demi kelangsungan hidup,” katanya.
Sementara itu, P Thanaseelan yang juga jurucakap kepada 18 pemilik lori berkenaan berkata, tindakan terlalu ‘berat’ daripada pihak JPJ itu memberi kesan negatif kepada pengusaha lori.
“Semua 18 pengusaha ini sudah membayar denda antara RM25,000 dan RM30,000 dan mereka tidak mempertikaikan hakikat bahawa mereka melakukan kesalahan itu.
“Bagaimana mereka mahu menyara keluarga sekarang kerana punca pendapatan sudah terjejas meskipun mereka sudah membayar denda yang tinggi.
“Sekarang ini pula, mereka mungkin akan kehilangan pemilikan kenderaan mereka. Adakah ini adil?
“Justeru, kita menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya meneliti perkara itu dan membantu pemilik lori yang terjejas dalam perkara ini,” katanya.
Leave a Reply