Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dicabar memfailkan saman terhadap Ustaz Mohamad Wadi Annuar berhubung kenyataan media dikeluarkan penceramah bebas itu yang didakwa jauh tersasar dari kejadian sebenar.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar membuat cabaran itu menerusi satu sesi Facebook Live yang berdurasi lapan minit hari ini bagi menjelaskan apa yang berlaku pada sesi rakaman keterangan yang gagal dijalankan pihak JAIPs, semalam.
Menurutnya, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan perkara yang berlaku semasa pihaknya tampil untuk dirakam keterangan, namun penjelasan itu disangkal Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.
“Yang pertama kami menegaskan bahawa kenyataan media itu adalah benar, perkara yang (dikatakan) berlaku adalah benar dan kita mempunyai saksi bersama kita daripada pagi bermula siasatan sehingga akhir proses.
“Malam tadi kenyataan media JAIPs berkaitan siasatan terhadap saya, dalam perenggan kedua (kenyataan media) JAIPs menyatakan kenyataan (media) saya adalah jauh tersasar daripada realiti sebenar yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, sepanjang proses rakaman percakapan itu semua perbualan dirakam secara audio dan video yang patut disiarkan supaya masyarakat boleh menilai sendiri perkara sebenar yang berlaku.
“Saya cabar JAIPs siarkan rakaman video itu tanpa diedit…saya cabar JAIPs keluarkan kenyataan rasmi terutama pengarah yang malam tadi menafikan kebenaran kenyataan media bertulis dari saya.
“Saya juga cabar JAIPs untuk menyaman sivil terhadap saya atau mana-mana individu terbabit sekiranya apa yang kami laporkan dalam kenyataan media pada 2 Mei tidak benar, jauh tersasar,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan, sesi rakaman percakapan Ustaz Wadi Annuar di pejabat JAIPs di Kangar, Perlis gagal susulan barisan peguamnya tidak dibenarkan tampil bersama.
Pendakwa itu dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kangar, Perlis 28 Mac lalu.
Ustaz Wadi yang ditemani dua peguam, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs sekitar jam 10.30 pagi, semalam.
Mohd Jamil yang mewakili Ustaz Wadi dilapor berkata, anak guamnya memenuhi arahan untuk tampil ke pejabat JAIPs seperti yang dijanjikan namun haknya untuk khidmat peguam semasa sesi temubual dinafikan.
Turut baca : Siti Bainun terdiam selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun
Leave a Reply