PAS dilihat ‘gelojoh’ buru kekuasaan – Mohammad Agus

Keseluruhan perjuangan PAS sudah berubah apabila parti itu memperlekeh kebenaran dibangkitkan oleh pihak lain, selain menampakkan kegelojohan memanipulasi Islam untuk memburu kekuasaan.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mendakwa parti itu cenderung menyerang pihak yang berbeza pendapat dengannya secara ‘berjemaah’.

“Saya dibesarkan dalam keluarga PAS. Sehingga umur dewasa, saya masih menyokong PAS biarpun bukan ahli PAS. Asas ketertarikan saya mudah. PAS memperjuangkan keadilan Islam dan keadilan sosial.

“Namun, kini PAS sudah berubah total. Perjuangannya penuh dengan retorik agama dan memperkudakan agama untuk mendapatkan kuasa.

“Nampak kegelojohan PAS memanipulasikan Islam untuk memburu kekuasaan. Sebarang perbezaan pendapat dengan pandangannya akan diserang secara berjemaah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, politik PAS seperti itu perlu ditolak.

“Saya fikir politik PAS sebegini perlu ditolak. Saya harap sangat anak muda dan pengundi yang mahu negara kita maju dan harmoni menolak politik sebegini. Negara kita perlu aman untuk rakyatnya hidup sejahtera.

“Mujur, dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu, kata-kata “Kito sudah cukop jumloh. Esok angkat sumpoh” tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, serangan yang dilakukan parti itu penuh emosi, tanpa adab dan akhlak hingga orang yang ditujukan itu diberikan pelbagai gelaran jelek.

“Karakter kita dicemarkan. Kekuatan mental kita dilumpuhkan. Kita dituduh menolak Islam.

“Tidak cukup dengan agama, PAS turut memperjuangkan isu kaum dan bangsa yang dahulunya mereka katakan asabiah yang perlu ditolak,” katanya.

Beliau berpandangan, PAS berubah dengan cepat dan yang lebih pelik, pengikutnya dan pentaksubnya ada daripada kalangan professional dan cerdik pandai.

“PAS dahulu dan sekarang banyak berbeza. Dahulu PAS pertahankan kebenaran, kini PAS perlekehkan kebenaran.

“Misalnya, saya timbulkan isu air, sampah dan jalan sempit di Kelantan, penyokong PAS menafikannya dengan pelbagai cemuhan. Menakjubkan, mereka bahagia dengan kekurangan yang ada asalkan ‘PAS perjuangkan Islam’.

“Bagi penyokong PAS, hanya mereka sahaja yang memperjuangkan Islam. Bagi saya, ini wajah PAS yang jumud dan keliru,” katanya.

Katanya, beliau sungguh tidak selesa dengan politik PAS sekarang kerana apabila parti itu ditegur dan dikritik, dianggap sesat dan jahat.

“Dahulu PAS lihat rasuah itu jijik, kini PAS lihat rasuah itu derma. Politik PAS tidak ada lagi kasih sayang. Yang ada hanyalah kebencian bagi mereka yang berbeza dengannya. Menyokong PAS, mereka menjanjikan syurga dan menentang PAS mereka diugut dengan neraka,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*