Sejak dua minggu lalu, empat beradik dari Kampung Baru Nelayan, di sini hilang kasih sayang ibu apabila insan kesayangan mereka bertarung nyawa di hospital kerana serangan angin ahmar.
Ketika umat Islam gembira berkumpul meraikan Ramadan, Mohd Alif Muhaimin Abdullah, 12, dan adik-adiknya, Nor Daniya Arisya, 11; Nor Iwanina Afina, 7, dan Muhammad Fayyad Zakuan, 4, hanya menumpang kasih ibu saudara, Sarinah Husain, 46, yang tinggal bersama mereka.
Ibu mereka, Noriza, 38, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan ditidurkan kerana keadaannya yang kritikal.
Menurut Sarinah, adiknya Noriza dimasukkan ke hospital pada awal Ramadan lalu selepas terjatuh di rumah dan tidak dapat bergerak.
“Keadaannya kini dilapor semakin teruk dan sejak itu saya yang menguruskan sepenuhnya keempat-empat anak saudara termasuk menghantar dan menjemput mereka dari sekolah setiap hari,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sarinah berkata, Noriza menyara kehidupannya anak beranak dengan mengambil upah menyiang ikan untuk dibuat keropok, namun memperoleh pendapatan yang tidak menentu.
Noriza juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM650 sebulan, selain tidak segan mencari besi buruk untuk menampung kos persekolahan tiga daripada anaknya.
“Untuk raya ini, persiapan raya untuk anak-anaknya saya yang selia dan kami buat lebih awal namun secara ala kadar.
“Noriza tinggal di rumah kecil yang dibina sebelah rumah saya, memandangkan kediaman saya pun sudah dihuni dihuni sembilan ahli keluarga,” katanya yang memberitahu kebajikan Noriza dan empat anaknya sentiasa dipantau selepas wanita itu bercerai empat tahun lalu.
Menurutnya, dia bimbang dengan keadaan Noriza apatah lagi Syawal bakal menjelang.
“Empat anaknya sedih dengan kesihatan ibu mereka yang semakin merosot. Mereka sudah lama tidak mendapat kasih sayang bapa, kini ibu pula diuji,” katanya.
Terdahulu keluarga itu menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society diketuai Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir menyampaikan sumbangan dan zakat.
Leave a Reply