“Kedengaran sayup suara tangisan, berderau bulu roma…” Empat sahabat berkongsi kisah tangisan ‘misteri’

Empat sahabat yang baru pulang bersahur dari sebuah restoran hampir bertempiaran lari apabila terdengar bunyi tangisan di tepi pagar Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang, Sabtu lalu.

Namun, tangisan ‘misteri’ itu rupa-rupanya suara seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di tepi masjid berkenaan.

Mohd. Iqram Haqeem Abdullah, 14, berkata, ketika kejadian pada pukul 4 pagi itu, dia dan tiga rakannya hendak singgah untuk ke tandas masjid berkenaan.

“Kami dengar sayup-sayup suara tangisan, berderau bulu roma. Bila dengar, kami takut dan nak lari, tetapi hati kuat untuk tahu apa sebenarnya, kami tengok bunyi itu datang dari sehelai plastik hitam tepi pagar masjid.

“Kami tak berani buka dan tahan sebuah van kilang yang lalu sebelum pemandunya periksa plastik, rupanya ada bayi perempuan berbalut tuala berwarna kuning,” katanya di sini hari ini.

Mereka kemudiannya menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian itu dan menyerahkan bayi berkenaan kepada petugas masjid tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kali pertama di kawasan perumahan itu.

MOHD. IQRAM HAQEEM ABDULLAH (baju hijau) dan tiga rakannya menunjukkan lokasi seorang bayi perempuan ditinggalkan di tepi pagar Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang.

“Bayi berkenaan bernasib baik kerana diselamatkan sekumpulan pelajar sekolah, jika terus berada di situ mungkin berlaku kejadian tidak diingini berikutan lokasi itu kawasan anjing liar berkeliaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan pihaknya menerima maklumat tentang penemuan seorang bayi perempuan di hadapan Masjid An Nur di Taman Cendana pada 5.20 pagi, 1 April lalu.

“Bayi dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Keadaan bayi sihat dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaaan,,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md. Yassin berkata, bayi berkenaan dipercayai berusia tiga hari ketika ditemui.

“Hingga kini tiada waris bayi yang tampil menuntutnya. Perintah Jagaan Sementara di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru akan dipohon bagi membolehkan pelindung kanak-kanak menguruskan dokumen-dokumen berkaitan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*