Peniaga, tiga pembantu dicekup jual nasi kepada ‘geng plastik hitam’

Seorang peniaga bersama tiga pembantu ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) selepas menjual nasi bungkus kepada individu yang tidak berpuasa di premisnya di Kampung Belimbing, di sini hari ini.

Dalam serbuan pukul 11.30 pagi bersama anggota penguat kuasa Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) pihaknya turut menahan tiga lelaki yang dipercayai pelanggan dan mahu membeli makanan tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, kejayaan ini hasil maklumat yang diberikan oleh orang awam berkait dengan aktiviti berkenaan.

“Kesemua wanita yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 40 tahun dan mereka dikenakan tindakan bawah Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 iaitu Tidak Menghormati Bulan Ramadan.

“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukum denda RM2,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi.

Mohd. Fadzuli memberitahu, tiga lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun disabitkan kesalahan bersubahat di bawah Seksyen 52 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Jajahan Tanah Merah dan kemudian diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah.

“Pada masa sama, kesemua mereka turut dibebaskan dengan bon jamin oleh seorang penjamin.

“Kita akan terus menggandakan operasi dalam usaha mencegah aktiviti yang bercanggah dengan peraturan agama Islam dan undang-undang negeri,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*