Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong menyifatkan tindakan pembangkang keluar dewan beramai-ramai di parlimen hari ini sebagai tanda muflis idea bernas.
Katanya, Perikatan Nasional (PB) sepatutnya menolong rakyat dengan membantu kerajaan menghadapi cabaran kitaran gaji, produktiviti, kemahiran dan aktiviti nilai tambah rendah.
“Pada masa ini, pembangkang yang tidak mempunyai sebarang dasar ekonomi yang jelas cuba bermain dengan emosi rakyat.
“Mereka menggunakan isu pengeluaran bersasar KWSP di parlimen sedangkan negara kita sedang dalam proses pemulihan ekonomi,” kata anggota parlimen Iskandar Puteri daripada DAP itu.
Dia mengingatkan bahawa gaji median pada 2021 hanya berada pada tahap RM2,250 sebulan dengan 50 peratus pekerja Malaysia dibayar gaji kurang daripada itu.
Anggota parlimen PN pagi ini keluar beramai-ramai dari Dewan Rakyat sebagai tanda protes mereka apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahaskan.
Mereka keluar dewan setelah desakan mereka tetap ditolak oleh speaker.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) antaranya menggesa agar usul itu dibahaskan atas alasan melibatkan kepentingan rakyat.
Dia juga tidak berpuas hati dengan alasan menteri kewangan dan timbalannya telah menjelaskan berkenaan isu itu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menolak gesaan itu antaranya susulan kebimbangan terhadap wang pencen pekerja yang tidak cukup untuk kegunaan hari tua, terutama yang simpanannya terlalu sikit.
Sementara itu, Liew juga menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai “tindakan terancang”.
Dia mengingatkan bahgawa sudah empat kali pengeluaran bersasar KWSP dibenarkan sewaktu era pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
“Sewaktu Muhyiddin menjadi perdana menteri selepas rampasan kuasa Sheraton, beliau tertekan dengan kemelut ekonomi dan politik.
“Pada mulanya beliau enggan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP tetapi tekanan yang keras menyebabkan dia mengalah pada Julai 2021.
“Dan sebulan kemudian beliau terpaksa meletak jawatan,” katanya.
Dia bagaimanapun mengakui dua pengeluaran bersasar pada 2020 memang merupakan keperluan.
Katanya, ketika itu kehidupan rakyat terjejas dilanda tekanan ekonomi akibat sekatan pergerakan berikutan pandemik Covid-19.
Leave a Reply