Saman fitnah: MB Kedah diarah bayar RM120,000 kepada Mahfuz

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini gagal dalam rayuannya berhubung kes saman fitnah dikemukan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahkamah Rayuan sebaliknya meluluskan permohonan pihak lawan, Datuk Mahfuz Omar untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Mahfuz, Noorazmir Zakaria menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

“Rayuan anak guam untuk menaikkan jumlah ganti rugi pula dibenarkan, daripada RM50,000 kepada RM120,000.

“Saya secara peribadi dalam kendali kes saman fitnah, inilah jumlah ganti rugi yang paling tinggi dapat. Susah nak lepas nilai ratus ribu sekarang ni,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada November 2021 memerintahkan Sanusi untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada pemimpin parti AMANAH itu.

Hal ini berhubung satu hantaran Sanusi di akaun Facebook pada Julai 2019 yang menerbitkan kenyataan berunsur fitnah kepada Mahfuz.

Sanusi mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena ketika itu dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan tersebut.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu turut menerbitkan video bantahan penduduk yang mamaparkan sepanduk tertera nama plaintif.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*