“Langit tidak selalu cerah…” Kadang ada duit, kadang tak ada, inilah hidup – Roslan Aziz.
ROSLAN Aziz bukan sekadar penerbit dan jurutera muzik. Beliau adalah seorang tokoh seni. Penggiat seni berusia 60 tahun ini merupakan seorang yang cukup berkaliber,membawa muzik Malaysia ke luar negara.
Beliau berperanan meneroka dan mengembangkan bakat ramai penyanyi. Termasuklah dua legenda, Datuk Sheila Majid dan Datuk Zainal Abidin.
Khamis lepas, saya dan seorang jurugambar berpeluang menziarahi Roslan di kediamannya di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Dia yang diuji kanser limfoma tahap empat sedikit pun tidak melihatkan penderitaannya. Malah cukup bersemangat dan mengalu-alukan kehadiran kami.
Turut baca
- Sindiket jual biskut perisa ‘ganja’ tumpas di Lembah Klang
- Menteri Sukan bertegas, sorakan 63,000 penonton punca Malaysia ditewaskan Bahrain
- “Jangan risau, semua halal…” Nasi kandar pertama di Tokyo ‘meletop’, sold out setiap hari
Dalam pertemuan itu, Roslan bercerita panjang, tentang permulaan, cerita usia muda dan perjalanan seni.
Katanya, kebolehan bermain alat muzik timbul dalam dirinya sejak usia kanak-kanak.
“Saya bermain dram sejak usia saya lima tahun. Belajar dengan menonton rancangan Beat Club yang ketika itu ditayangkan di salah sebuah stesen televisyen (TV) tempatan.
“Individu pertama yang melihat kebolehan itu adalah datuk saya. Dia tengok saya kumpul tin dan ketuk, macam main dram. Satu hari, dia beri kejutan. Belikan saya set dram untuk saya main,” katanya.
Bercerita lanjut, Roslan memberitahu, pada usia tujuh tahun dia menyertai bapa saudaranya, bermain muzik untuk sebuah band yang dinamakam Dukes Band.
“Bapa saudara saya boleh bermain alat muzik. Dia nak tubuhkan sebuah kumpulan. Jadi datuk saya taja, belikan alat muzik dengan syarat, saya diambil sebagai pemain dram untuk kumpulan itu.
“Kumpulan itu terkenal dan kami membuat persembahan di banyak tempat di Kuala Lumpur, termasuk pasar minggu. Penonton teruja tengok saya, seorang kanak-kanak yang bermain dram,” katanya.
Langit tidak selamanya cerah. Penglibatan Roslan itu ditentang bapanya yang tidak gemar melihat anaknya menjadi seorang pemuzik.
“Bapa saya beritahu datuk, dia tak mahu anaknya jadi pemuzik. Dia ambil dram yang datuk beli untuk saya dan humban ke dalam stor. Dia mahu saya fokus pelajaran dan aktif bersukan.
“Selepas itu, saya tak sentuh langsung alat muzik. Tengok program hiburan di TV pun curi-curi, waktu bapa keluar bekerja.
“Bapa saudara saya cakap, Roslan kamu akan jadi seorang cikgu, kita hentikan semua ini. Muzik tidak pernah tinggalkan saya. Walaupun dilarang bermain muzik, saya tetap ikuti perkembangan. Ikuti muzik termasuk yang dibawakan Simon Garfunkel dan The Beatles,” ceritanya.
Kecewa, bawa diri ke AS
Album pertama Datuk Sheila Majid, Dimensi Baru diterbitkan pada 1985. Cerita Roslan, sebelum itu, tiada satu pun syarikat rakaman terkenal yang mahu menerbitkan album tersebut.
“EMI tak terima, Warner Music tak nak. Alasan mereka album itu tak boleh jual dan Sheila yang ketika itu masih baru, orang tak terima. Titra Records, milik sahabat saya satu-satunya syarikat rakaman yang nampak potensi album itu. Saya berikan master album tersebut tanpa terima satu sen pun. Saya minta Citra Records terbitkan album itu. Ketika itu saya cukup menyampah dengan industri muzik di Malaysia.
“Saya bawa diri ke Amerika Syarikat (AS). Memang nekad, tak akan balik ke Malaysia, biarlah jadi pendatang haram di sana. Saya kecewa, dengan kerenah industri muzik kita ketika itu. Saling menjatuhkan. Mereka tak boleh terima orang yang lebih bagus. Kena ikut dan jadi macam mereka.
“Rupanya, lagu Pengemis Muda dapat sambutan. Jualan mencecah lebih 20,000 unit. Saya tak sangka. Saya balik sekejap ke Malaysia. Bila album itu laku, barulah EMI nak ambil Sheila bernaung di bawah mereka,” kongsi Roslan.
Kata Roslan, pada waktu itu dia masih dengan keputusannya untuk pindah ke AS. Katanya, sebilangan besar syarikat rakaman di Malaysia ketika itu kuat membuli.
“Saya menyampah dengan sikap mereka yang merendah-rendahkan cita rasa dan pendengaran orang Melayu. Saya tak berkenan, mereka kuat membuli. Saya kembali ke AS semula dan bercadang nak tinggal sana. Jadi pendatang tanpa izin pun tak apa. Sampai pernah tidur di jalanan dekat New York, macam gelandangan. Masa itu orang sana tak kenal Malaysia. Mereka ingat saya orang Vietnam. Kerja macam kuli. Tak terima bayaran. Cuma dapat makan minum sahaja.
“Semasa di sana, saya dihubungi Fauzi Marzuki. Dia maklumkan Sheila minta saya terbitkan album keduanya. Saya tolak. Lepas itu saya dimaklumkan Sheila tak nak nyanyi. Fauzi pujuk supaya saya balik ke Malaysia. Sahabat saya di AS menasihati saya. Betapa sukar mendapat kerja, tetapi saya pula tolak tawaran bekerja di Malaysia. Dalam hati saya kata betul apa yang Mat Salleh ini cakap.
“Tahun yang sama, iaitu 1986 saya pulang ke Malaysia. Ambil dua, tiga bulan siapkan album kedua Sheila. Syarikat rakaman tak suka sebab macam-macam saya minta. Saya katakan kepada mereka, saya juga tak suka kamu. Mereka ini penghancur industri. Berlagak pandai, buli orang,” ujarnya.
Selepas menyiapkan album Emosi , Roslan bercadang pulang semula ke AS. Namun, Sheila mintanya tangguh hasrat tersebut, sehingga pelancaran album itu selesai dibuat.
“Saya tangguh ke AS dan tunggu sehingga album Emosi dilancarkan. Memang tak sangka, album itu laku, terjual kira-kira 40,000 unit. Orang suka.
“Lebih mengejutkan, orang Indonesia datang dan beritahu mereka berminat untuk jual album itu di sana. Katanya album itu terlalu bagus, mereka tak sangka muzik Malaysia seperti itu. Saya ingat, Pak Joko namanya.
“Di Indonesia, lagu Antara Anyer dan Jakarta terima sambutan luar biasa. Dan album Sheila pada ketika itu laku, kira-kira 300,000 unit. Orang Indonesia, pada waktu itu beranggapan muzik Malaysia cuma muzik-muzik asli. Namun setelah mendengar album Emosi, mereka buka mata,” ceritanya.
Saya terima ujian ini
Sebaik sahaja Roslan mendedahkan dia menderita kanser limfoma tahap empat kepada umum, dunia hiburan tanah air bertukar suram seketika.
Rata-rata peminat dan rakan artis terkejut dengan berita itu. Dia juga sebelum ini agak menyepi dan agak lama hilang dari radar seni.
Kata Roslan, ujian itu diterimanya dengan berlapang dada. Sesaat selepas doktor memaklumkan perkara itu, dia sudah terima ketentuan-Nya.
“Doktor maklumkan pada Disember tahun lepas. Sebelum itu, saya tak pernah sakit. Masuk hospital pun tak ada. Sebaik doktor kata kanser, saya sudah terima. Saya bukan umur 30- an, tapi dah 60 tahun. Saya diuji kanser. Okey, saya terima dan akan buat rawatan.
“Keluarga bersedih, saya katakan jangan. Sekarang, selepas habis kemoterapi, keadaan saya menjadi lebih baik.
“Saya terima ujian ini. Tuhan telah beri banyak kenikmatan dalam hidup saya. Ada isteri yang baik, anak-anak, rakan dan peminat yang baik. Apa lagi yang saya mahukan? Kalau Tuhan ambil nyawa saya esok, saya reda,” katanya.
Ceritanya, menurut doktor, kalau kanser itu tidak dirawat, saya hanya ada enam hingga sembilan bulan untuk hidup.
“Doktor hanya maklumkan ini kepada isteri, saya tak tahu.
Bila isteri maklumkan kepada saya, saya katakan, saya tak terkejut. Sudah masuk tahap empat.
“Saya tidak kecewa. Tuhan berikan saya segalanya. Apa lagi saya mahu? Nak jadi The Beatles? Saya dah ke Jepun, jual lagu. Konsert gergasi? Pun sudah. Bangun pagi saya masih dapat tengok bapa saya, lelaki berusia 84 tahun depan mata saya. Itu nikmat paling besar. Apa lagi saya nak?
“Hidup saya pernah susah dan pernah senang. Di rumah ada segalanya, tingkat atas ada studio. Saya boleh buat lagu. Tinggal pula dekat Datuk Keramat, tempat paling seronok untuk saya diami. Kadang ada duit, kadang tak ada. Inilah dia, hidup saya sudah memadai,” katanya.
Leave a Reply