Khalid ingatkan PN, tugas pembangkang bukan ‘tebuk atap’

Perikatan Nasional (PN) diingatkan bahawa tugas sebenar mereka sebagai pembangkang adalah membuat proses ‘semak dan imbang’ dan bukannya melakukan kerja ‘tebuk atap’.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad berkata tugas pembangkang bukannya setiap hari perlu berfikir bagaimana mahu menjatuhkan kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

“Dia ingat kerja pembangkang ini kerjanya nak tebuk atap atau masuk pintu belakang saja?

“Dia tak faham bahawa bila selesai pilihan raya, pembangkang mestilah memainkan peranan membina seperti melakukan semak imbang terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Padang Apartmen Taman Tasik Jaya, Senawang baru-baru ini.

Turut hadir dalam program anjuran Biro Mobilisasi AMANAH Nasional dan negeri itu adalah Naib Presiden AMANAH Adly Zahari, Pengerusi AMANAH negeri Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Naibnya Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Khalid membidas pemimpin PN tidak faham tentang tugas pembangkang walaupun ketika bercakap mereka seolah-olah mengetahui perkara tersebut.

Sebaliknya beliau berkata pemimpin PN sebenarnya tidak faham sistem demokrasi berparlimen.

”Peranan pembangkang adalah untuk menegur dan memperbaiki supaya negara atau negeri mendapat manfaatnya,” katanya.

Khalid berkata apabila tiba kembali musim pilihan raya, segala inti pati semak imbang oleh pembangkang terhadap kerajaan terdahulu ‘boleh digunakan’ bagi membuktikan mereka layak menjadi kerajaan baharu.

”Bila tiba musim pilihan raya, kamu (pembangkang) bolehlah tunjuk (usaha semak imbang) itu seperti kerajaan sebelum ini buat itu tak betul, buat ini tidak betul atau ada kelemahan.

“Kemudian, beritahulah kami sudah pun menegur (kekurangan), beri cadangan sekali gus memperbetulkan apa yang kurang. Maka, kami sebagai pembangkang yang membina, sekarang ini kami layak menjadi kerajaan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*