Lotus’s ikut jejak Mydin sertai program ‘Rahmah’

Selepas Mydin, kini Lotus’s menjadi pasaraya kedua terbesar mengambil bahagian dalam Inisiatif Payung Rahmah sebagai langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat di negara ini.

Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, pihaknya komited untuk menyampaikan Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Bakul Rahmah dan Menu Rahmah mulai hari ini.

“Ramai yang berasa tertekan dengan peningkatan kos sara hidup terutamanya golongan B10 dan B40.

“Jadi, kami berharap dengan pengenalan Inisiatif Jualan Rahmah ini, ianya dapat membantu meringankan beban pelanggan dengan menyediakan penjimatan sehingga 50 peratus kepada mereka melalui 6,000 produk apabila membeli-belah di semua cawangan Lotus dan juga pada platform Lotus’s Shop Online.

“Pelanggan juga boleh menikmati penjimatan daripada 30 peratus untuk produk makanan asas dan barangan kembali ke sekolah di bawah tawaran Pakej Rahmah, dan pada masa yang sama dapat membeli makanan di bawah Inisiatif Menu Rahmah berharga RM5 di semua medan selera Lotus.

“Melalui program komuniti #KitakanJiran Lotus’s, syarikat peruncitan akan menyumbang 1,200 Bakul Rahmah, yang bakal memberi impak kepada 8,000 individu yang memerlukan di 200 rumah kebajikan dengan akses kepada sayur-sayuran segar, buah-buahan, roti dan barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak sepanjang tahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub merasmikan pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Lotus’s di Lotus’s Selayang yang turut dihadiri Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof dan Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah.

Menurut Kenneth lagi, bermula 9 Mac sehingga 10 Mei ini, kempen Sama-Sama Berseri RamRaya Lotus’s turut menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus untuk barangan terpilih dan penjimatan dengan baucar diskaun yang disediakan dalam bentuk cetakan dan e-katalog.

Katanya, turut dipromosikan adalah rekaan pakaian Hari Raya seperti set baju kurung (RM49.90), set Baju Melayu (RM69.90), Kurta (RM39.90) dan set Bayi (RM22.90).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*