Insiden pokok tumbang : Pemandu Mercedes meninggal lepas mengucap kalimah syahadah

‘Mangsa sedar lima minit dan pengsan selepas dipesan supaya mengucap kalimah syahadah’.

Demikian cerita seorang saksi, Muhammad Tariq Haikal, 24, yang melihat sendiri kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini, petang semalam.

Menurutnya, mangsa lelaki, 47, yang meninggal dunia dikatakan sempat sedar kira-kira lima minit selepas kereta dihempap pokok dan terkena di bahagian kepala.

Katanya, ketika kejadian, dia yang bekerja sebagai ejen hartanah itu berada di pejabat terletak berhampiran dengan lokasi semasa insiden terbabit.

“Angin sangat kuat waktu itu dan tiba-tiba dengar bunyi pokok tumbang dan menghempap beberapa kenderaan di laluan sekitar.

“Suasana menjadi senyap sekejap sebab semua terkejut. Ada staf di pejabat ini yang menghubungi pihak monorel supaya menghentikan perjalanan di laluan itu.

“Saya keluar dari pejabat untuk membantu pemandu sebuah kenderaan (mangsa maut) yang tersepit disebabkan dahan pokok tembus dari bahagian tempat penumpang depan sehingga ke tempat pemandu,” ujarnya.

Dalam situasi kelam kabut itu, dia bersama beberapa orang awam membantu mengangkat dahan yang menghempap bahagian kepala lelaki berkenaan.

“Dia (mangsa) dalam keadaan sedar kira-kira lima minit dan ada orang lain sempat pesan kepadanya supaya mengucap (dua kalimah syahadah) sebelum dia pengsan.

“Apa yang saya nampak ketika itu, hanya dia seorang dalam kereta,” kongsinya.

Beliau berkata, orang lain yang melihat situasi itu jelas trauma seterusnya melarikan diri di kawasan hotel berhampiran.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah hotel, di sini, petang tadi.

Pemandu e-hailing, lelaki tempatan, 26, dan seorang wanita Sweden, 72, merupakan dua mangsa yang dilaporkan tercedera dalam insiden petang semalam.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*