Rafizi : Pentadbiran PN tak guna peruntukan sepenuhnya bantu Bumiputera

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pentadbiran dulu tidak menggunakan dana yang diperuntukkan sepenuhnya dalam usaha membantu Bumiputera.

Beliau merujuk kepada dana yang diperuntukkan kepada Teraju, sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan untuk menerajui, memacu, serta menyelaras agenda pembangunan Bumiputera, selaras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Teraju diberi peruntukan yang besar dari setahun ke setahun, namun sebahagian tidak dapat dilunaskan dalam pentadbiran sebelum ini.

“Diberi dana RM100 juta, RM200 juta sebelum ini, yang sampai kepada penerima jauh lebih sikit daripada itu,” katanya.

Namun begitu, Rafizi berkata, Teraju masih diperuntukkan RM135 juta dalam Belanjawan 2023.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sama ada kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).

TPB2030 diperkenalkan ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebagai hala tuju pemerkasaan yang bakal menjadi rujukan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi Bumiputera, sambil memastikan kesinambungan kepada pelbagai dasar dan rancangan Bumiputera terdahulu dengan penyesuaian semasa.

Menurut Rafizi, kementeriannya bersama Teraju sedang meneliti keberkesanan unit berkenaan.

“Sebab itu saya tidak ingin mengulas panjang tentang Teraju. Bukan kerana kita tidak mempunyai agenda Bumiputera tetapi kita nak memastikan perkara itu tidak berulang,” katanya.

Tambahnya, beliau ingin memastikan segala proses dan pendekatan mahupun keseluruhan falsafah mengenai pembangunan ekonomi Bumiputera diteliti.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 6 Mac lalu mengkritik Belanjawan 2023 baharu yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan meminta kerajaan memperincikan kedudukan dasar dan agenda Bumiputera dalam dasar pembangunan negara.

Beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan terburu-buru dalam menggantikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2019, dengan konsep Malaysia Madani.

Muhyiddin berkata agenda Bumiputera tidak begitu jelas dalam dasar Malaysia Madani mahupun mana-mana komitmen kerajaan hari ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*