SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super musim ini setelah meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Kelantan FC, 5-1, di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, petang tadi.
Biarpun beraksi pada waktu petang, namun ia nyata tidak menghalang kedua-dua pasukan untuk tetap mempamerkan aksi mantap di sepanjang perlawanan.
Bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan, JDT tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan apabila penyerang import, Diogo Santo memanfaatkan bola muntah daripada tangkapan penjaga gol Kelantan FC, Nik Mohd Amin Ahmad yang menampan sepakan penalti daripada seorang lagi penyerang import, Fernando Forestieri, seawal minit ketiga permainan.
Gol berkenaan nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan skuad Harimau Selatan itu untuk terus mengasak ke gawang pelawat menyaskikan Endrick Dos Santos meledak gol kedua skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-26.
Mendahului dua gol bagaimanapun menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari itu terus mengasak hebat ke kubu pelawat dan hasilnya, Forestieri menebus kegagalannya menjaringkan penalti pada awal perlawanan dengan merembat kencang ke penjuru kiri gawang untuk gol ketiga pada minit ke-35.
JDT dilihat semakin hebat mengasak ke gawang pelawat pada minit-minit akhir babak pertama, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak hebat ke gawang Kelantan FC dan kali ini giliran pemain import, Juan Muniz menjaringkan gol menerusi rembatan cantik pemain import, Juan Muniz, dari luar kotak penalti pada minit ke-56 untuk gol keempat tuan rumah.
Kelantan FC akhirnya merapatkan jurang gol apabila pemain gantian, Leonardo Rolon menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-69.
Gol berkenaan dilihat tidak memberikan kesan kepada skuad Harimau Selatan itu yang dilihat semakin hebat mengasak dan hasilnya, pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan gol kelima pada minit ke-81.
JDT terus menguasai perlawanan selepas itu, namun tiada sebarang tambahan jaringan berjaya dihasilkan skuad Harimau Selatan itu hingga ke wisel penamat.
Leave a Reply