{VIDEO} Kehilangan seorang warga emas akhirnya terjawab

Rompin: Kehilangan seorang warga emas akhirnya terjawab apabila dia ditemui lemas di dalam kereta yang tenggelam dalam kejadian banjir di Felda Selancar 2, Muadzam Shah, di sini, semalam.

Mayat mangsa, Abdullah Satar, 73, ditemui penduduk kampung yang menjumpai keretanya dalam keadaan terbalik dan tenggelam dalam air banjir selepas banjir semakin surut.

Ketua Polis Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu kira-kira jam 6.40 petang.

“Polis dimaklumkan mengenai penemuan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang tenggelam dalam banjir dan terdapat mayat seorang lelaki di dalamnya.

“Anggota polis segera ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan usaha mengeluarkan mayat mangsa dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Muadzam Shah, di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, menurut anak mangsa, dia sebelum itu sudah beberapa kali berusaha menghubungi ayahnya itu namun panggilannya tidak berjawab sebelum dia meminta bantuan rakan untuk mencari warga emas terbabit.

“Kemudian anak mangsa telah dimaklumkan rakannya itu bahawa ayahnya telah dijumpai di dalam kereta dekat ladang sawit di jalan utama Felda Selancar 2 berhampiran Sekolah Menengah Perwira Jaya namun meninggal dunia lalu dia terus ke lokasi kejadian.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, tular di Tik Tok video penduduk menemui sebuah kereta dalam keadaan terbalik serta ditenggelami air sebelum mereka berusaha mengeluarkan kereta terbabit dengan menggunakan jentolak.

Menurut keterangan pada video berkenaan, penduduk terkejut apabila mendapati terdapat seorang lelaki warga emas di dalam kereta terbabit.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*