{VIDEO} 4 penyamun berparang diburu polis

Klang: Polis giat memburu empat suspek dipercayai melakukan jenayah samun menggunakan parang di banglo di Taman Sri Andalas, semalam.

Empat suspek terbabit juga disyaki melakukan jenayah sama di Taman Petaling, 17 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian samun itu, 9.05 pagi semalam.

“Siasatan mendapati, kira-kira 8.45 pagi, empat suspek lelaki menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran dipercayai palsu berhenti di hadapan rumah berkenaan.

“Keempat-empat suspek bertopeng, bersarung tangan dan bersenjata parang dan memasuki ke dalam rumah melalui pintu hadapan.

“Semasa kejadian, tiga ahli keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan dalam lingkungan umur antara 46 hingga 88 tahun berada di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hoong Fong berkata, dalam kejadian itu, suspek mengarahkan kesemua mangsa duduk di dalam bilik utama sambil diawasi dua suspek.

“Seterusnya seorang suspek mengambil rantai leher dipakai oleh dua mangsa manakala suspek lain menyelongkar bilik dan bag tangan mangsa.

“Suspek kemudiannya melarikan diri melalui pintu hadapan menggunakan kenderaan sama.

“Hasil semakan mendapati beberapa jenis barang kemas anggaran kira-kira RM24,000, wang tunai anggaran RM800 dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone hilang. Anggaran keseluruhan kerugian kira-kira RM25,000,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati seorang mangsa cedera akibat menahan pintu ketika suspek cuba masuk ke dalam rumah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, denda atau sebat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek diminta tampil terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*