AMSTERDAM – Pakar seismologi Belanda, Frank Hoogerbeets yang mula menjadi sebutan ramai selepas beliau meramalkan kejadian seismik dahsyat di Turkiye dan Syria pada bulan lalu sekali lagi lagi memberi amaran dunia mungkin dilanda satu lagi gempa kuat.
“Minggu pertama Mac adalah sangat kritikal ketika penumpuan geometri planet. Pada tarikh sekitar 2 dan 5 Mac bakal menyaksikan aktiviti seismik pada skala besar mungkin juga gempa tujahan mega pada 3-4 Mac atau 6-7 Mac,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di YouTube pada Isnin.
Menerusi rakaman tersebut, Hoogerbeets juga mendakwa kekuatan gempa itu boleh mencecah lebih 8.0 skala Richter.
“Kawasan yang terlibat boleh menjangkau ribuan kilometer dari Semenanjung Kamchatka dan Kepulauan Kuril di bahagian Timur Jauh Rusia sehingga ke Filipina dan beberapa wilayah Indonesia.
“Saya bukan mahu membesar-besarkan hal ini atau cuba mencetuskan panik. Ia adalah satu amaran,” tegas saintis Geometric Survey of the Solar System (SSGEOS) itu lagi.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Geofizik Akademi Sains Cawangan Kamchatka, Danila Chebrov bertindak mempersoalkan ramalan tersebut malah menggelar Hoogerbeets sebagai ‘amatur’.
Jelas Chebrov, hubungan antara gerakan planet dalam sistem suria dan aktiviti seismik di bumi agak lemah serta agak bermasalah untuk menggunakannya sebagai alat prognostik utama.
Susan Huff di Pusat Pemerhati Geologi Amerika Syarikat (USGS) juga mengesahkan tiada saintis pernah meramalkan gempa kuat sebelum ini.
“Ia mungkin berlaku secara kebetulan,” ujarnya merujuk kepada ramalan Hoogerbeets terhadap gempa di Turkiye dan Syria.
Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) di Indonesia ketika mengulas tentang ramalan gempa dahsyat di Sulawesi, Maluku dan Maluku Utara menggesa penduduk supaya sentiasa berwaspada.
“Aktiviti seismik pada skala besar sukar diramalkan. Ramalan Hoogerbeets juga tidak mengikut standard kiraan gempa.
“Jika gegaran itu berlaku ia tidaklah sekuat seperti dikatakan beliau memandangkan jarak dari Rusia ke Filipina, Halmahera hingga ke Sulawesi adalah sangat jauh iaitu dianggarkan lebih 7,000 kilometer,” kata jurucakap agensi itu, R Jamroni.
Beliau juga memaklumkan gempa dengan magnitud kecil berlaku hampir setiap hari dan sudah menjadi ‘perkara biasa’ di wilayah Sulawesi.
INFO
Pada 3 Februari lalu, Hoogerbeets menerusi Twitter memberi amaran gempa berkekuatan 7.5 skala Richter lambat-laun akan melanda Turkiye, Jordan, Syria dan Lubnan. Tiga hari kemudian, gegaran kuat 7.8 skala Richter menggegar Ankara dan Damsyik yang telah meragut lebih 50,000 nyawa serta disusuli ribuan gempa susulan sehingga ke hari ini.
Leave a Reply