Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT) mengesahkan tidak menerima laporan pelajar Malaysia terkesan akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang menggegarkan selatan negara itu.
Presidennya, Adib Azman ketika dihubungi Bernama melalui WhatsApp berkata, persatuan itu membuat hebahan dan menghubungi pelajar di kawasan terkesan, termasuk di Gaziantep, bandar terdekat dengan pusat gempa.
Menurut pelajar tahun ketiga di Universiti Istanbul itu, dua pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Gaziantep disahkan selamat.
“Kami juga ada membuat semakan dengan pelajar tahfiz (warga Malaysia) di sana dan dilaporkan ada asrama mereka yang ranap disebabkan gempa bumi dan ada dalam kalangan rakan mereka dari negara lain yang syahid.
“Namun, Alhamdulillah setakat ini tiada pelajar tahfiz Malaysia yang terkesan dan dilaporkan mereka berlindung di masjid buat sementara waktu,” katanya.
Adib yang menuntut dalam jurusan Pengajian Islam (Uluslararası Ilahiyat) berkata, terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia di Turki dengan 168 daripadanya pelajar universiti yang berdaftar dengan persatuan itu, manakala selebihnya pelajar tahfiz atau sekolah tinggi.
“Untuk situasi ini, Kedutaan Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul menerima makluman lokasi pelajar berkenaan dan diberikan nombor telefon pelajar di sana, sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.”
Beliau menasihatkan pelajar Malaysia di negara itu segera memaklumkan MASAT sekiranya terlibat dalam sebarang kecemasan dan mendaftar di bawah persatuan untuk keselamatan mereka.
Menceritakan situasi ketika gempa berlaku, Adib berkata, beliau yang berada Istanbul hanya merasai gegaran kecil.
“Saya berada di Turki buat tahun ketiga dan hanya dua kali saya merasai pengalaman gempa bumi. Istanbul jarang ada gempa bumi yang agak serius dan biasanya terkesan sedikit gegaran.
“Ada sekali gempa bumi di kawasan yang jarak perjalanannya dua jam dari Istanbul dan kami dapat rasa gegaran di sini, masa itu dalam 3 pagi. Saya terjaga, katil dan almari bergoyang dalam satu minit.”
Seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul, Khaidir Zainoddin turut merasakan gegaran kecil ketika gempa bumi itu berlaku, namun bersyukur aktiviti kembali normal pada sebelah pagi.
“Di Istanbul angin ribut kuat, salji turun dan hujan lebat. Waktu gempa itu berlaku, saya tidur, saya hanya rasa gegar sikit.”
Pekerja sambilan syarikat televisyen tempatan itu berkata, beliau belum dapat menghubungi rakannya yang berada di kawasan terjejas dengan gempa.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turki awal pagi tadi dekat bandar Gaziantep, meragut 912 nyawa di Turki, manakala 476 lagi kematian direkodkan di negara jiran, Syria.
Satu lagi gempa kuat bermagnitud 7.2 berlaku 99km barat dari Malatya, Turki pada 6.24 petang semalam.
Turut baca :
Leave a Reply