{VIDEO} Suami isteri guru SMAP Kajang maut kemalangan di LPT 2

Sepasang suami isteri yang merupakan guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor maut, manakala tiga anak mereka cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 274 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh di sini hari semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 4 petang itu, Arbain Baharudin, 47, dan isterinya, Rosmayati Bakar@Lalar, 48, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan, sementara tiga anak mereka iaitu Faikal Nabila, 8, Fatin Najla,10, dan Farah Najwa, 20, cedera pada bahagian tangan, kaki dan muka.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian kesemua mangsa yang menetap di Kajang dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kampung Gelugor, Kerteh di sini dan sebelum itu mereka sempat menghantar salah seorang anak lelaki mereka ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Estima dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di laluan kiri lebuh raya. Kenderaan tersebut kemudian berpusing beberapa kali sebelum terhenti di pembahagi lebuh raya. Impak pelanggaran menyebabkan pasangan suami isteri tersebut masing-masing tercampak keluar lima dan 10 meter dari kenderaan mereka.,” katanya.

Hanyan berkata, ketiga-tiga anak mangsa yang cedera dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan. manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama bagi tindakan lanjut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*