{VIDEO} “Sedapnya! Real dan simple…” Menu Rahmah dapat pujian orang ramai

Rata-rata orang ramai memuji Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh pasar raya Mydin dengan harga istimewa serendah RM4.90 bagi setiap hidangan.

Reaksi awam itu dilihat membanjiri hantaran Mydin di Facebook berkenaan program yang dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Program yang menawarkan makanan ringkas tetapi berkhasiat itu disifatkan dapat meringankan beban masyarakat berpendapatan rendah yang berdepan dengan kenaikan inflasi barangan makanan.

Malah, penyokong blok pembangkang yang digelar ‘walaun’ dan ‘anak Abah Din’ masing-masing merujuk pada Pas dan Bersatu juga boleh menikmati set makanan siap masak itu pada harga murah berbanding jualan semasa.

“Walaupun cetusan idea bernas Menu Rahmah ini datang dari menteri Kerajaan Perpaduan Yang di-Pertuan Agong, walaun dan juga anak Abah Din juga boleh sama-sama menikmati dan merasai nikmat harga mampu milik ini tanpa mengira bangsa juga parti.

“Tahniah PMX,” tulis pengguna Facebook, Tommy Lim.

Tidak kurang juga yang mendoakan semoga Malaysia menjadi negara yang rahmah serta memuji pendekatan Kerajaan Perpaduan dalam membantu rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Sedapnya! Makanan real dan simple, berpatutan macam inilah kami mahu.

“Semoga Allah perluaskan rezeki buat pasar raya dan pengusaha restoran terlibat.

“Tahniah atas usaha membantu rakyat. Usaha Mydin terpuji,” demikian antara komentar warganet.

Terdahulu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai memaklumkan bahawa pengurangan cukai terhadap pengusaha restoran yang terlibat dalam iniasitif Menu Rahmah akan dibincangkan.

Lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi set makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40 berjimat.

Mydin hari ini memaklumkan Menu Rahmah diperkenal pada harga istimewa serendah RM4.90 bagi set makanan dan RM2.50 bagi pilihan sarapan di 28 cawangannya termasuk pengendali restoran dan medan selera syarikat itu.

Menurutnya dalam satu kenyataan, pihaknya komited membantu golongan memerlukan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat Mydin Prihatin.

Menerusi program itu, pasar raya itu menyalurkan 5,000 Pek Makanan Menu Rahmah kepada 5,000 pelajar golongan B40 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Semoga kerjasama di antara kerajaan dan pemain industri dapat memberi solusi kepada peningkatan kos sara hidup yang kian mencabar untuk semua,” tambah Mydin lagi.

Berikut hidangan bagi Menu Rahmah untuk tempoh seminggu yang dilaksanakan oleh Mydin:

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*