‘Tiup api perkauman’, MP PAS berdepan laporan polis

Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Mohamad Jan berhubung satu hantaran di media sosial yang menghina orang bukan Islam.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata, kenyataan itu boleh menjejaskan perpaduan antara kaum di negara ini walaupun hantaran tersebut sudah dipadamkan.

“Fawwaz mempersenjatakan media sosial miliknya untuk meniup bara kebencian dalam kalangan penyokongnya demi kepentingan politik.

 

“Kenyataan tersebut boleh mengganggu ketenteraman awam, malah tidak melampau kalau katakan boleh mencetuskan rusuhan antara kaum,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kenyataan itu menyalahi mengikut Seksyen 499, 505B, dan 505C Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam hantaran di Facebook yang kini dipadamkan itu, Fawwaz berkata, orang kafir berusaha untuk menjatuhkan Islam.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang itu kemudiannya memohon maaf atas komen itu. Beliau juga mendakwa kenyataan itu ditulis dan dimuat naik oleh bekas pentadbir Facebook miliknya tanpa pengetahuannya.

Syeerlena berkata, ini bukanlah kali pertama Fawwaz cuba mencetuskan ketegangan antara kaum di tengah kehangatan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Beliau sepatutnya menjauhi publisiti murahan dengan bermodalkan sentimen kaum dan agama, sekiranya beliau tidak mempunyai kapasiti intelek untuk membahaskan soal ekonomi dan dasar lebih meluas demi kebaikan rakyat.

“Saya berharap pihak polis tidak berdiam diri dan segera menyiasat Fawwaz demi kepentingan negara, rakyat dan agama,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*