“Kerugian mencecah RM60,000…” Perancang pakej perkahwinan bajet akhirnya ditahan.
Perancang perkahwinan yang memperdaya beberapa pengantin di Johor dengan pakej perkahwinan bajet, namun gagal menyediakan perkhidmatan termasuk katering pada saat akhir, ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 50 tahun itu ditahan di bandar raya ini dan disiasat susulan 10 laporan yang diterima sehingga 8 Jun lalu.
Katanya, kerugian dialami mangsa mencecah RM60,000, dengan mangsa hanya menyedari ditipu apabila tidak menerima makanan atau menerima makanan kurang daripada ditempah mahupun sudah basi.
“Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan pakej bajet atau murah ditawarkan oleh perancang perkahwinan atas nama Kekasih Hati Katering atau akaun peribadi di facebook (fb) Emir Mimi.
“Pakej ditawarkan serendah RM8 bagi setiap jemputan, berbanding harga biasa antara RM10 hingga RM12.
“Semua transaksi bayaran dilakukan dalam talian dan semua kes berlaku antara Mei hingga awal Jun, malah kita yakin akan menerima beberapa laporan polis lagi serta menggesa mangsa untuk tampil membuat laporan.
“Kami menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej perkahwinan yang murah dan tidak masuk akal serta fikir dua kali sebelum membuat pembayaran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan memohon untuk perintah reman suspek hari ini bagi siasatan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, antara kes dikaitkan suspek diterima pada 5 Jun lalu apabila mangsa membayar deposit RM1,000 pada 18 Mei dan baki bayaran RM3,400 pada 27 Mei, namun menerima makanan tidak mencukupi serta basi (pada 4 Jun).
“Perancang perkahwinan berjanji untuk menghantar makanan kali kedua di majlis perkahwinan itu yang diadakan di sini, namun gagal berbuat demikian,” katanya.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan luahan pasangan pengantin di Taman Putri, Kulai yang majlisnya terganggu disebabkan pihak katering gagal menyiapkan makanan.
Lebih malang apabila perkara itu dimaklumkan pada 7 pagi hari kenduri, memaksa keluarganya bergotong-royong memasak saat akhir.
Leave a Reply