Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menyantuni warga Negeri Sembilan dan menjamu selera di kedai Cendol Songkok Tinggi Kampung Jiboi Baru, di Seremban.
Beliau yang tiba pada 12.30 tengah hari disambut pemilik gerai Ahmad Dani Daud dan meluangkan masa kira-kira setengah jam sambil beramah mesra bersama ratusan pengunjung yang turut tidak melepaskan peluang merakam gambar kenang-kenangan bersama pemimpin nombor satu negara itu.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.
Selain cendol yang merupakan menu utama kedai itu, Anwar turut mencuba beberapa juadah lain termasuk mi rebus Johor, laksa Johor dan jemput-jemput.
Selesai menjamu selera, beliau kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat.
Dalam pada itu, Ahmad Dani berkata sejak dimaklumkan mengenai kehadiran Perdana Menteri dua hari lepas, perasaannya bercampur baur dan teruja selain tidak menyangka pemimpin berkenaan akan singgah ke kedainya.
“Sebelum ini memang ramai selebriti datang ke kedai kami termasuk Uji Rashid dan Datuk Rahim Razali, malah Menteri Besar pun selalu datang tapi Perdana Menteri memang ini kali pertama, ia adalah sejarah bagi kedai kami.
“Ini adalah kebanggaan dan kehormatan buat kami, dapat jamu orang ternama. Tidak pernah saya membayangkan pemimpin utama negara akan singgah dan menikmati ‘air tangan kami’,” katanya kepada pemberita.
Ahmad Dani berkata bagi memastikan kelancaran operasi gerainya ketika kunjungan Perdana Menteri, beliau menggupah 10 pekerja tambahan bagi membantu enam pekerja sedia ada yang telah membuat persiapan sejak dua hari lepas.
Kedai Cendol Songkok Tinggi Kampung Jiboi Baru yang beroperasi sejak November 2017 itu boleh memuatkan lebih 200 pengunjung pada satu-satu masa dan lebih istimewa pekerja di kedai terbabit perlu bersongkok tinggi serta berbaju melayu atau kemeja petak-petak bersama tag nama yang merupakan trademark kedai berkenaan.
Turut baca :
Leave a Reply