Anak, isteri maut nahas, lelaki gagal saman LPT

Mahkamah Seyen Temerloh menolak saman sivil difailkan seorang lelaki terhadap syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) susulan kematian anak dan isterinya di Pahang, dua tahun lalu.

Anak, isteri maut nahas, lelaki gagal saman LPT
Mahkamah Sesyen Temerloh memutuskan kemalangan itu berkemungkinan berpunca daripada pemanduan isteri plaintif ketika hujan.

Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan Redza Hassan gagal membuktikan tuntutannya terhadap Anih Bhd berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mendengar keterangan lima saksi.

Menurutnya, tindakan Redza bergantung kepada laporan media untuk membuktikan kewujudan lopak air di KM119 lebuh raya berkenaan adalah tidak mencukupi.

Isteri Redza, Norhadiyatul Akma Jaafar maut dalam kemalangan bersama seorang anak mereka, Amer Asyraf, ketika memandu sebuah pikap dari Temerloh ke Kuala Lumpur pada kira-kira 6 petang 2 Februari 2020.

Tiga lagi anak mereka, Ammar Wafiy, Rania Zulfa dan Adeeb Rayyan yang juga berada dalam kenderaan itu, bagaimanapun terselamat.

“Berdasarkan keterangan lima saksi ini, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kecuaian di pihak pemilik konsesi lebuh raya dalam menyenggara lebuh raya berkenaan,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman yang dibacakan secara dalam talian.

Katanya, dua saksi iaitu seorang anggota polis dan pegawai penyiasat, telah memberi keterangan bahawa tiada bukti menunjukkan kehadiran lopak di tempat kejadian seperti didakwa, yang bertentangan dengan laporan media.

Sebaliknya, katanya, berdasarkan keterangan pegawai penyiasat, Norhadiyatul lebih berkemungkinan hilang kawalan terhadap kenderaannya akibat cara pemanduannya ketika hujan.

Che Wan Zaidi turut tidak mengambil kira lima laporan media mengenai kemalangan di bahagian lain lebuh raya berkenaan kerana tidak relevan dengan kes ini.

Susulan itu, Redza berkata beliau akan memfailkan rayuan dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

KS Naicker dan Rosmaria Daud mewakili Anih Berhad, manakala Ranizan Mokhtar dan Amirul Faliq mewakili Redza.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*