Zulkafperi Hanapi wakil rakyat pembangkang terbaru isytihar sokong PM

Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi menjadi wakil rakyat pembangkang terbaru yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pengisytiharan sokongan ini kepada kepimpinan perdana menteri kesepuluh adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjoong Karang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Zulkafperi menjelaskan keputusannya itu bertujuan memastikan nasib dan pembangunan penduduk di parlimen yang diwakilinya terus terbela.

“Dan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Zulkafperi menegaskan dia masih setia kepada partinya Bersatu.

“(Saya) tidak akan mengkhianati parti Bersatu namun demi memastikan kelangsungan (kawasan parlimen) Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi

Sebelum ini, lima ahli parlimen Bersatu telah mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar, iaitu Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Syed Abu Hussin (gambar atas) pada 11 Disember tahun lalu mendakwa tujuh hingga lapan lagi ahli parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan mereka terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan sama ada ahli parlimen terbabit adalah dari Bersatu atau PAS yang menerajui pakatan PN ketika ini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*