Yang Dipertua PAS Kangar mengaku tak salah hina kuasa raja

Yang Dipertua PAS Kangar Yussaine Yahya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kangar atas pertuduhan menghina kuasa raja dan badan-badan agama Islam.

Yussaine, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Syariah Mohamad Zaidi Abdullah dan mohon dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yussaine didakwa telah menganjurkan ceramah agama dengan menjemput pendakwah, ustaz Mohamad Wadi Anuar Ayub yang tidak memiliki tauliah daripada Jabatan Mufti negeri pada 30 Mac lalu di Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam Al Nawawi (Matin), Kampung Abi Padang Machang, Kangar.

Menurut Utusan Malaysia, tindakan itu dianggap melanggar Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 dan bertentangan dengan titah rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menghina kuasa Raja Pemerintah dan badan-badan agama Islam di bawah Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie negeri, Siti Fatimah Ahmad Maulana manakala tertuduh pula diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Pihak pendakwaan menerusi hujahannya memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin di mana seorang daripadanya merupakan penjawat awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan dan membantah syarat penjamin tersebut yang dilihat tidak relevan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes pada 18 Jan 2024 dan tertuduh juga dikenakan ikat jamin RM2,000 dengan dua orang penjamin. Tertuduh kemudiannya membayar jumlah jaminan yang dikenakan tersebut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*