Yang Dipertua PAS Kangar berdepan tuduhan hina kuasa raja

Seorang pemimpin PAS peringkat kawasan bakal didakwa di mahkamah syariah di Perlis ekoran sebuah majlis membabitkan personaliti terkenal, Wadi Annuar Ayub, baru-baru ini.

Berdasarkan dokumen yang dilihat Malaysiakini, Yussaine Yahya akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kangar pada Khamis ini.

Yang Dipertua PAS Kangar itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Enakman Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 kerana menganjurkan ceramah agama membabitkan penceramah yang tidak mempunyai tauliah.

Atas perbuatan itu, Yussaine juga didakwa melakukan tindakan bertentangan dengan titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail berhubung pematuhan peraturan di negeri terbabit.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Yussaine mengesahkan dia menerima notis untuk hadir di mahkamah syariah seperti salinan notis mahkamah yang tular di media sosial.

“Ya saya dipanggil untuk dituduh di mahkamah pada Khamis (14 Sept) ini.

“Insya-Allah saya akan hadir bersama peguam,” katanya ringkas.

Wadi Annuar Ayub

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Yussaine juga memberitahu dia tidak pasti mengapa Wadi Annuar tidak dipanggil untuk didakwa seperti dirinya.

“Saya pun tak tahu kenapa penceramah tidak dipanggil sebaliknya hanya saya,” katanya.

Dalam kejadian 30 Mac lalu, berlaku kekecohan di Maahad Tahfiz al-Quran al-Imam an-Nawawi (Matin) di Kangar ekoran program ‘solat terawih dan sembang santai’ dianjurkan di situ.

Ia diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) kerana melibatkan Wadi Annuar yang tidak memiliki sebarang tauliah daripada kerajaan negeri.

Boleh didenda, penjara

Bagaimanapun penguat kuasa Jaips serta pengarahnya tidak dibenarkan memasuki premis Matin dan berlaku ketegangan di situ. Antara lain ada pihak didakwa melaungkan perkataan “kafir” semasa kekecohan berlaku.

Mereka dilaporkan mendakwa tauliah tidak diperlukan untuk program tersebut kerana bersifat tertutup serta dijalankan secara santai.

Jaips kemudian membuat laporan polis apabila penguat kuasanya dihalang penganjur daripada bertemu dengan Wadi Annuar untuk diambil keterangan berhubung tindakannya memberi ceramah di negeri itu tanpa tauliah.

Media sebelum ini turut melaporkan Wadi Annuar dan penganjur program berkenaan dipanggil untuk diambil keterangan di pejabat Jaips pada 2 Mei lalu, namun prosesnya tidak berlangsung lancar.

Notis saman yang tular hari ini turut menyatakan Yussaine dituduh melakukan kesalahan menghina kuasa raja pemerintah dan badan-badan agama Islam lain mengikut Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.

Jika disabitkan kesalahan Yussaine boleh dihukum denda sehingga RM3,000, penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*