Seorang bapa tidak menyangka kemalangan yang dilihat ketika dalam perjalanan menghadiri satu majlis pengebumian, melibatkan anak lelakinya di Kilometer 36, Jalan Temerloh-Bahau, dekat persimpangan Sri Buntar, Triang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, Muhammad Faris Halimin Azlin, 22, maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori.
Ketika kejadian Muhammad Faris bersama ibu, bapa dan dua adiknya yang menaiki kereta dalam perjalanan dari Felda Kemasul untuk menghadiri pengebumian saudara di Pengkalan Manggis, Temerloh.
Menceritakan tentang kemalangan itu, ibu mangsa Zanariah Aziz, 47, berkata, setibanya di lokasi kemalangan, suaminya menjerit apabila terlihat motosikal anaknya di tengah jalan.
“Ya Allah! Itu motor anak aku.Itulah yang dikatakan suami membuat kami sekeluarga terkejut dan tidak menyangka insiden meragut nyawa itu melibatkan anak kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Shah (Hoshas) Temerloh di sini semalam.
Serentak itu, katanya, suami dan anak perempuannya bergegas ke arah mangsa, namun pada ketika itu Muhammad Faris yang berlumuran darah akibat cedera parah di bahagian kepala sudah tidak sedar diri.
Katanya, atas faktor kesihatan, dia tidak dapat untuk turun dari kereta untuk melihat keadaan anak keduanya itu.
“Sebelum keluar dari rumah, Limi (Muhammad Faris Halimin) bersalaman dengan saya, malah sepanjang minggu lepas, dia belikan tiga biji kek sempena hari lahir abahnya, ibu saudara dan jiran sebelah rumah.
Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan arwah tetapi apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan kami sekeluarga trauma, apa pun, saya reda,” ujarnya.
Dalam pada itu, rakan mangsa, Muhammad Haikal Danil Hazrul, 18, berkata, kali terakhir mereka berjumpa pada malam Jumaat lalu, namun Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik.
“Kami borak macam biasa, dia tetap macam biasa dan kami berkongsi banyak perkara bersama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.39 pagi itu, lori dari arah Temerloh telah memasuki simpang kanan ke Triang itu tanpa memberi laluan kepada mangsa yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan pelanggaran.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hoshas untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Leave a Reply