Waspada! Ubur-ubur api atau “Portuguese Man of War” serang pantai Marang. Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan kehadiran ratusan ubur-ubur api atau “Portuguese Man of War” di Pantai Rhu Muda, di sini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu, Roswati Md Amin, berkata spesies yang diklasifikasikan bawah kumpulan hydrozoan marin itu mudah dikenali dengan warna kebiruan lutsinar.
Pakar bidang plankton ekofisiologi itu berkata, hidupan berkenaan mempunyai sel penyengat berbisa di bahagian tentakel untuk menangkap mangsa sebagai mekanisme pertahanannya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai tidak menyentuh hidupan beracun itu, termasuk yang telah mati kerana boleh memberi kesan berbahaya.
“Kewujudan hidupan ini banyak direkodkan di Lautan Pasifik, India dan Atlantik. Bagaimanapun, pada November lepas, kita dapati spesies ini ada naik di pantai sekitar UMT di Kuala Nerus.
“Hidupan bersifat koloni ini tidak boleh berenang dan bergerak menggunakan polip pelampung bersaiz dua hingga 10cm di bahagian atas yang berfungsi untuk pergerakan.
“Spesies itu juga bergerak mengikut pergerakan arus dan tiupan angin. Kajian menunjukkan kekuatan dan arah tiupan angin mempengaruhi damparan hidupan ini di pesisir pantai. Angin kuat musim monsun timur laut ketika ini antara penyebab damparan hidupan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sehubungan itu, Roswati menyarankan pihak berkuasa memantau kehadiran hidupan ini di lokasi pantai menjadi tumpuan pengunjung untuk memastikan keselamatan orang ramai, terutama kanak-kanak yang mudah teruja dengan penemuan hidupan laut unik.
“Saya juga menasihatkan nelayan lebih berhati-hati kerana ubur-ubur ini mudah tersangkut pada pukat.”
Penduduk di Kampung Baru Rhu Muda di sini, Mohd Kamaruzaman Sulong, 48, berkata dia menyedari kehadiran hidupan itu malam tadi ketika berada di dapur rumahnya.
Kedudukan rumahnya yang sangat dekat dengan pantai membolehkan dia melihat dengan jelas ratusan hidupan berkenaan terapung-apung di laut.
“Ini kali pertama saya lihat ubur-ubur itu di Pantai Rhu Muda. Tetapi saya kenal dan tahu kewujudan ubur-ubur ini kerana pernah jumpa ketika menangkap ikan di laut.
“Semalam ombak kuat dan air pasang, mungkin itu punca hidupan ini naik ke Pantai Rhu Muda.”
Baca juga :
Leave a Reply