Warga emas disamun maut leher dijerut, kaki serta tangan diikat

Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun ditemukan mati dengan leher dijerut serta kaki dan tangannya diikat dipercayai akibat kejadian samun di sebuah rumah di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 3.21 petang memaklumkan tentang penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Siasatan mendapati tempat kejadian adalah sebuah rumah teres setingkat dan berpagar serta tidak mempunyai kesan pecah masuk.

“Mangsa ditemui di atas katil bilik utama yang tiada televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan rakaman CCTV di rumah jiran mendapati terdapat dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna gelap dipercayai suspek telah keluar dari rumah tersebut kira-kira pukul 3 petang.

“Barang yang hilang di tempat kejadian adalah seutas rantai emas, sebentuk cincin yang dipakai selain dompet milik mangsa didapati sudah tiada,” ujarnya.

Menurutnya, hasil siasatan awal punca kejadian disyaki bermotifkan samun dan susulan itu polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun di Kuala Ketil, kira-kira 3 pagi tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Manakala kedua-dua suspek akan dipohon reman di Mahkamah Sik pagi ini,” katanya.

Shamsudin berkata, mangsa tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian isteri, lapan tahun lalu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat dan dapat membantu siasatan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di talian 04-4708222 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Tan See Yean di talian 019-6687687 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Warga emas disamun maut leher dijerut, kaki serta tangan diikat

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*